am@hmetro.com.my
Shah Alam: Polis menahan seorang gelandangan yang disyaki mencederakan rakannya sehingga parah di pekan Pasir Panjang, Sekinchan, Sabak Bernam, semalam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad berkata, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan di hadapan sebuah kedai dobi pada jam 8.10 pagi.
“Terdahulu, polis menerima laporan mengenai kejadian menimpa mangsa iaitu lelaki berusia 59 tahun.
“Insiden dipercayai berlaku jam 5.15 pagi semalam berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Md Yusof berkata, gelandangan itu ditemukan di hadapan rumah kedai menjual barang atas talian dan bersebelahan dobi.
“Mangsa mengalami kecederaan ringan pada otak namun tiada pendarahan dalaman, patah tulang muka dan tulang leher kiri terkehel.
“Ketika ini, dia menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang,” katanya.
Md Yusof berkata, polis sedang mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




