Polis tahan guru besar didakwa cabul murid lelaki

Polis tahan guru besar didakwa cabul murid lelaki

am@hmetro.com.my

Melaka: Guru besar sebuah sekolah rendah di negeri ini ditahan polis, semalam bagi membantu siasatan kes cabul kehormatan murid lelaki dalam tandas sekolah dan pejabatnya.

Sumber berkata, mangsa berusia 12 tahun menceritakan kejadian kepada ibunya, sebelum dibawa ke balai polis untuk membuat laporan.

“Mengikut laporan kanak-kanak itu mendakwa semasa berada di dalam tandas sekolah, datang suspek lalu bertanya apa dilakukannya.

“Murid terbabit memberitahu sedang menunggu rakan di dalam bilik air, sebelum suspek berusia 58 tahun tiba-tiba memeluknya dari belakang sambil menyuruh mangsa menyebut perkataan ‘I love You’ berkali-kali,” katanya di sini.

Sumber berkata, pengadu juga mendakwa dicabul suspek pada Jun lalu ketika dipanggil ke pejabat guru besar itu bagi membantu menampal sijil.

Katanya, suspek dirakam percakapan sebelum dilepaskan dengan jaminan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top