am@hmetro.com.my
Nilai: Polis menahan seorang lelaki warga Myanmar di Puchong, Selangor tengah malam tadi selepas disyaki mengelar leher wanita senegara hingga maut dalam kejadian di asrama pekerja di Nilai, malam Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, masalah hutang dipercayai menjadi punca kejadian yang mana suspek dikatakan berhutang sebanyak RM10,000 daripada mangsa.
“Susulan kes kelar membabitkan pekerja wanita warga asing pada Isnin lalu, polis menahan seorang lelaki warga Myanmar di tepi jalan dekat Saujana Puchong, kira-kira jam 12.55 tengah malam tadi.
“Tangkapan dilakukan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Negeri Sembilan dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Nilai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas beliau, berpandukan suspek, pihak polis kemudiannya dibawa ke lokasi tempatnya membuang senjata yang disyaki digunakannya ketika kejadian termasuk barang milik mangsa.
“Susulan itu, polis merampas sehelai baju dan selipar, dua telefon bimbit masing-masing milik mangsa dan suspek serta sebilah pisau boleh laras yang disyaki digunakan sebagai senjata,” katanya.
Johari berkata, hasil soal siasat awal, suspek yang berusia 42 tahun itu mengaku terbabit dalam kes yang sedang disiasat itu dengan cara mengelar leher mangsa menggunakan sebilah pisau.
“Motif kejadian dipercayai disebabkan suspek berhutang sebanyak RM10,000 daripada mangsa sebelum wanita itu dikatakan mengugut suspek supaya membayar hutang.
“Mangsa dikatakan menggugut akan menyebarkan gambar suspek dan teman wanitanya di laman sosial Facebook sekiranya lelaki itu tidak membayar hutang sebanyak RM5,500 pada hari kejadian,” katanya.
Tambahnya, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini bagi soal siasat lanjut untuk melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Semalam media melaporkan, seorang pekerja wanita warga asing ditemukan maut dengan kesan kelar pada bahagian leher di tangga tingkat empat, di sebuah asrama pekerja asing, di sini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




