Polis tahan suspek tendang warga emas selepas kemalangan kecil

Polis tahan suspek tendang warga emas selepas kemalangan kecil

mhafis@mediaprima.com.my

Kajang: Hanya kerana terbabit kemalangan kecil, seorang peniaga tergamak memukul dan menendang warga emas berhampiran lampu isyarat Pekan Suntex, Batu 9 Cheras, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Nazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku pada jam 4.49 petang semalam.

Beliau berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada lelaki berusia 69 tahun yang juga pesara menyatakan cedera dipukul dan diugut seorang lelaki di lokasi kejadian.

Menurutnya, kejadian berpunca daripada kemalangan kecil membabitkan kenderaan mangsa dan suspek.

“Susulan itu, suspek berusia 52 tahun ditahan jam 11.30 malam tadi di Kajang dan direman dua hari bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya, serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun kerana membuat ancaman bunuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Ganesan Ramachandran di talian 0126089180 bagi membantu siasatan.

“Polis juga menasihatkan masyarakat supaya mematuhi undang-undang serta mengamalkan sikap bertanggungjawab bagi memastikan keharmonian dan ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top