am@hmetro.com.my
Tawau: Polis menahan seorang lelaki warga asing kerana disyaki merogol anak saudaranya di sebuah rumah di Taman Semarak, dekat sini, kurang 24 jam selepas laporan polis dibuat pada Sabtu.
Kejadian itu terbongkar selepas gadis berusia 19 tahun berkenaan mendedahkan perkara tersebut kepada ibu saudaranya.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata laporan diterima daripada seorang wanita tempatan berusia 52 tahun jam 2.52 petang selepas dimaklumkan oleh mangsa yang juga anak saudaranya berhubung kejadian berkenaan.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 malam pada Jumaat lalu di sebuah rumah di Taman Semarak, di sini, ketika mangsa berada di kediaman wanita terbabit.
“Mangsa mendakwa dirogol lelaki dikenalinya yang juga adik ipar wanita berkenaan.
“Mangsa dibawa ke sebuah klinik oleh ibu saudaranya untuk pemeriksaan kesihatan dan disahkan hamil namun usia kandungan belum dapat dipastikan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Jasmin berkata, susulan laporan itu sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan suspek berusia 40-an di sebuah bilik sewa di sekitar Bandar Sabindo, kira-kira jam 3.50 petang hari yang sama.
Katanya, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan penyalahgunaan dadah.
Katanya, suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan kerana kesalahan rogol yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




