am@hmetro.com.my
Shah Alam: Polis menganalisis rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam usaha mengesan suspek yang mencabul seorang wanita di Setia Alam, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya sedang mengumpul bukti, termasuk menemubual saksi dan mengambil rakaman CCTV dari kawasan sekitar.
“Suspek masih belum dikenal pasti dan usaha kami ketika ini tertumpu kepada mengesan pergerakannya,” katanya ketika dihubungi NST, hari ini.
Sarudin juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan.
“Kami merayu sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan supaya menghubungi pegawai penyiasat atau balai polis berhampiran,” katanya.
Dalam kejadian petang kelmarin, seorang wanita berusia awal 20-an mendakwa dicabul ketika berjalan pulang dari tempat kerja melalui sebuah kawasan perumahan.
Mangsa membuat laporan polis pada jam 9.06 malam dan mendakwa dia diserang dari belakang oleh seorang lelaki tidak dikenali yang memakai baju merah dan seluar hitam pada jam 7.10 malam.
Suspek didakwa memeluk mangsa, menutup mulut dan menciumnya sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.
Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Zamri Abdul Rahman di talian 011-16652402 atau balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




