hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis akan meneliti ucapan peserta Himpunan Solidariti Demi Adik Zara di hadapan pusat beli-belah Sogo, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya menempatkan pasukan perakam dalam himpunan itu yang bertindak mengesan sebarang ucapan atau perbuatan bercanggah undang-undang.
Katanya, tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada sekiranya ucapan berkenaan menyentuh isu sensitif terutama berkaitan Raja, Agama dan Kaum (3R).
“Kita akan meneliti ucapan-ucapan disampaikan oleh peserta-peserta yang berucap tadi dan sekiranya ada apa-apa ucapan yang melanggar undang-undang, menyentuh sensitiviti terutamanya 3R, kita akan membuka kertas siasatan.
“Kita akan memanggil individu-individu tertentu sekiranya ada keperluan,” katanya pada sidang media selepas himpunan itu tamat.
Beliau berkata, penganjur dan peserta bertanggungjawab untuk berkelakuan baik dan tindakan akan diambil sekiranya mereka didapati melanggar undang-undang.
“Sebagaimana termaktub undang-undang, dalam perhimpunan aman itu sendiri, tanggungjawab peserta dan penganjur untuk memastikan perhimpunan itu berjalan secara baik dan tidak melanggar apa-apa undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Sulizmie Affendy berkata, seramai 450 peserta menyertai himpunan berkenaan yang berjalan secara aman dan lancar bermula pada 8.30 malam hingga 11 malam.
Katanya, pihaknya menugaskan seramai seramai 100 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi termasuk anggota trafik untuk kawalan keselamatan dan kelancaran lalu lintas di sekitar kawasan himpunan berkenaan.
Terdahulu, suasana sebak menyelubungi hadapan pusat beli-belah Sogo di sini, hari ini apabila lantunan lagu Justice For Zara Qairina disusuli laungan ‘Justice for Zara’ oleh warga kota bergema sebagai solidariti atas kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Sokongan itu diberikan ratusan orang ramai tanpa mengira latar belakang pada Himpunan Solidiriti Demi Adik Zara bagi menuntut keadilan atas kematian remaja berusia 13 tahun itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd