Polis temui 41 disyaki pil kuda dalam kereta rempuh trak tentera

Polis temui 41 disyaki pil kuda dalam kereta rempuh trak tentera

am@hmetro.com.my

Machang: Polis menemui 41 pil kemerahan disyaki pil kuda dalam Proton Wira yang merempuh trak tentera sehingga menyebabkan seorang anggota maut di Kilometer 37.8, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Bukit Belah, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, ketika kejadian lelaki berkenaan memandu kereta Proton Wira dari arah Kota Bharu menghala Kuala Krai.

Sebelum kejadian, katanya ada saksi melihat kereta itu dipandu dalam keadaan ke kiri dan kanan jalan.

Bagaimanapun, beliau berkata ujian saringan air kencing tidak dapat dilakukan setakat ini kerana lelaki berusia 34 tahun itu masih kritikal dan menerima rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) di Kubang Kerian.

“Lelaki berkenaan parah di kepala dan badan serta patah kedua-dua belah kaki dan berada bawah pemantauan rapi pihak hospital.

“Oleh itu, sama ada suspek memandu di bawah pengaruh dadah masih belum dapat dipastikan,” katanya.

Dalam kejadian kelmarin, nahas mengorbankan seorang anggota tentera berpangkat Sarjan apabila trak tentera dinaiki bertembung kereta yang gagal memotong.

Ahmad Shafiki berkata, semakan polis mendapati lelaki berasal dari Gua Musang itu mempunyai sembilan rekod jenayah lampau membabitkan tujuh kes berkaitan narkotik dan dua kes jenayah termasuk liwat.

“Lelaki itu juga bekas banduan dan baru dibebaskan dari Penjara Machang, 4 Disember lalu.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya, 1952 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan, 1987,” katanya.

‘Kemenangan cabutan bertuah motosikal tak sempat arwah raikan’ – Kakak anggota tentera maut nahas

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top