rnoraina@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Polis menemukan semula dua barangan yang dipercayai tercicir ketika dilarikan penjenayah memecah masuk rumah saksi perbicaraan kes rasuah bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, di Jalan Bukit Gasing di sini, pada 6 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, barangan itu ditemui di laluan penjenayah melarikan diri.
“Barang yang tercicir adalah jam tangan berjenama dan rantai tangan emas.
“Namun pemeriksaan cap jari di rumah mangsa didapati negatif,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Beliau berkata, polis kini sedang giat memburu suspek bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan polis merakam keterangan 14 saksi bagi membantu siasatan kejadian pecah masuk rumah saksi perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Menteri Kewangan itu.
Shahrulnizam dilaporkan berkata, pihaknya juga sedang mengesan beberapa saksi yang dipercayai dapat membantu siasatan.
Dalam kejadian Rabu lalu, mangsa diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang yang menceroboh rumahnya dan melarikan pelbagai barangan bernilai RM300,000.
Mangsa mengalami kecederaan di bahagian mulut dan pergelangan tangan manakala dua pengawal keselamatannya diikat oleh penyerang selain turut diberi amaran:
“Jangan jadi hero, duduk rumah diam-diam.”
Polis bagaimanapun mengesahkan kes samun itu tiada kaitan dengan peranan mangsa sebagai saksi utama perbicaraan kes rasuah membabitkan Guan Eng.
Guan Eng yang juga penasihat DAP sedang berdepan beberapa pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen berhubung Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang.
© New Straits Times Press (M) Bhd