Polis terbabit kongsi gelap; Jejas nama pasukan dek noda segelintir!

Polis terbabit kongsi gelap; Jejas nama pasukan dek noda segelintir!

Pembabitan segelintir pegawai dan anggota polis dalam pertubuhan haram serta kongsi gelap sudah lama berlaku, malah ia bukan kes baharu.

Tindakan itu jelas memberi imej buruk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), sekali gus memberi persepsi negatif dalam kalangan masyarakat. SKUAD KHAS HARIAN METRO mewawancara bekas Ketua Polis Negara TAN SRI MUSA HASSAN berkaitan isu ini.

Pegawai dan anggota polis terbabit dalam pertubuhan haram atau kongsi gelap. Pandangan Tan Sri?

Perlu kita perjelaskan bahawa yang terbabit dengan kegiatan itu tidak ramai, hanyalah sebahagian kecil saja daripada bilangan keseluruhan pegawai serta anggota polis.

Kadangkala mereka ini (pegawai dan anggota polis yang terbabit) salah bercampur dengan orang, jadi mereka terjebak dengan kegiatan sedemikian.

Secara umumnya, saya berpandangan bahawa tidak sepatutnya pegawai serta anggota polis yang sudah faham tentang undang-undang menganggotai pertubuhan haram lebih-lebih lagi kongsi gelap.

Kalau kita cakap kongsi gelap sudah jelas bahawa ia satu organisasi yang menyalahi undang-undang, diwujudkan untuk melanggar undang-undang.

Saya rasa sedih kalau pegawai dan anggota polis ini terbabit kerana tanggungjawab hakiki mereka adalah menjaga keamanan serta keselamatan orang awam.

Apabila mereka bersekongkol dengan kongsi gelap yang jelasnya penjenayah, ke mana perginya amanah untuk menjaga keselamatan serta keamanan?

Pastinya mereka (yang menganggotai) akan cenderung untuk membela ahli kumpulan mereka sendiri, ini tidak sepatutnya berlaku.

Walaupun yang terjebak dengan kegiatan ini bilangannya kecil, namun bagaimana nama baik pasukan polis itu sendiri pada pandangan Tan Sri?

Ini persepsi orang ramai, pasti ramai orang awam akan berpandangan bahawa semua pegawai serta anggota polis begitu.

Bak kata pepatah, ‘Kerana nila setitik, habis susu sebelanga.’ Begitu jugalah yang terjadi kerana sebilangan kecil, nama pasukan secara keseluruhan akan tercemar.

Setiap pegawai atau anggota perlu sedar dan mengambil tanggungjawab yang besar tatkala bersedia untuk menyarung seragam keramat berkenaan.

Ini kerana ia tidak mudah, pasti banyak cabaran dan godaan. Kita perlu beri penghormatan kepada pasukan dan menjaga nama baik sepanjang masa.

Dengan cara itu, baru orang awam akan lebih mempercayai kita, polis ini barisan hadapan dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, jadi perlu faham falsafah berkenaan.

Apakah pegawai dan anggota yang terbabit dengan pertubuhan haram ini baru saja berlaku?

Tidak, ketika zaman saya (ketika masih berkhidmat serta menjawat jawatan Ketua Polis Negara) sudah ada.

Mereka ini juga terbabit dengan kegiatan kumpulan haram seperti kongsi gelap, ini saya boleh katakan mereka yang terbabit adalah pegawai atau anggota yang tidak ikhlas untuk berkhidmat.

Perlu kita faham bahawa masih ramai lagi pegawai dan anggota yang benar-benar ikhlas, yang membuat ‘noda’ dan mencemarkan nama baik ini tidak ramai, sebilangan kecil saja.

Apa-apa pun, tindakan perlu diambil kepada mereka yang terbabit dan ini akan menjadi teladan kepada orang lain.

Apakah bentuk tindakan yang akan dikenakan?

Siasatan akan dilaksanakan untuk melihat pembabitan pegawai dan anggota berkenaan dalam sesebuah pertubuhan haram atau kongsi gelap.

Jika mereka tiada pembabitan iaitu bermaksud tidak terbabit dalam kes jenayah, mereka akan dikenakan tindakan disiplin oleh tatatertib(Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis)

Jika siasatan ada membuktikan mereka terbabit dengan jenayah, sudah pasti mereka akan dikenakan mengikut peruntukan perundangan sedia ada seperti Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Sekiranya mereka terbabit dengan jenayah terancang, maka mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Adakah pegawai serta anggota polis ini didedahkan bahawa mereka tidak boleh menyertai pertubuhan haram?

Ya, sudah pasti. Setiap pegawai serta anggota polis akan didedahkan dengan perundangan khususnya membabitkan jenayah malah sehingga kepada Akta Pertubuhan 1966.

Ini penting untuk mereka tahu dan sedar bahawa menyertai mana-mana pertubuhan haram lebih-lebih lagi kongsi gelap adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.

Malah lebih buruk, ia mencemarkan imej pasukan serta memberi tanggapan buruk.

© New Straits Times Press (M) Bhd