hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan meminta wang perlindungan daripada sebuah pusat urut di Wangsa Maju.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, sebanyak tiga laporan polis diterima berhubung kejadian ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Polis kini sedang menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan kehadiran dua lelaki memperkenalkan diri sebagai ahli MPP meminta wang daripada sebuah pusat urut.
Difahamkan, wang itu sebagai perlindungan daripada sebarang tindakan penutupan premis berikutan terdapat aduan penduduk
Susulan video tular itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menggesa orang ramai tampil menyalurkan maklumat atau aduan kepada Unit Integriti JWP, DBKL dan SPRM sekiranya terdapat sebarang salah laku oleh MPP, pegawai atau anggota di bawah seliaan jabatannya.
Beliau berkata, pihaknya memperkukuh kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan setiap aduan disiasat secara telus dan tindakan tegas dapat diambil.
© New Straits Times Press (M) Bhd




