Polis terima laporan kes tular wanita dakwa dikasari bekas suami

Polis terima laporan kes tular wanita dakwa dikasari bekas suami

harisfadli@hmetro.com.my

Gombak: Polis mengesahkan menerima laporan hari ini berhubung dakwaan tular wanita tempatan dikasari bekas suami di Taman Scientex, Kundang Jaya, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Abang Kaderi Abang Wasli berkata, kejadian dilapor berlaku pada 11.47 malam Ahad.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan isu nafkah melibatkan suspek (lelaki tempatan berusia 34 tahun) ketika menghantar anak ke rumah mangsa.

“Suspek bertindak agresif terhadap mangsa dan turut menolak anak perempuan mereka yang berusia tujuh tahun sehingga menyebabkan mangsa terjatuh dan luka di bahagian lutut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, susulan itu pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 serta meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhammad Amirul Mohd Sharit di talian 016 6740989 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, 03 61262222.

Terdahulu satu klip video berdurasi 15 saat memaparkan seorang lelaki naik angin selepas perakam video menuduhnya memukul anak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top