Polis terima lima laporan, dakwa mangsa penipuan Kim Seri

Polis terima lima laporan, dakwa mangsa penipuan Kim Seri

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis menerima lima laporan berhubung individu mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan ke Seoul, Korea Selatan, yang dikendalikan usahawan Malaysia yang juga pempengaruh terkenal.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman mengesahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menerima laporan berhubung perkara itu.

“Setakat semakan dibuat mendapati ada lima laporan polis dibuat (berhubung dakwaan penipuan itu),” katanya di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan, seramai 10 individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan yang dikendalikan usahawan yang juga pempengaruh itu, membuat laporan polis, di sini, malam tadi

Mereka mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan ke Seoul, Korea Selatan oleh pempengaruh dikenali sebagai Kim Seri, yang menawarkan pakej selama lima hari, dengan harga kira-kira RM4,000.

Terdahulu, tular di media sosial, video luahan seorang individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan Kim Seri atau nama sebenarnya, Seri Azlina dan perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi dengan rata-rata bersimpati serta meminta mangsa membuat laporan polis.

Semalam, Kim Seri melalui Instagram (IG) Story memohon maaf dan memberi jaminan akan menyelesaikan tunggakan bayaran kepada pelanggan terkesan daripada trip pakej pelancongan tertunda sebelum atau pada 1 Februari tahun depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top