am@hmetro.com.my
Tumpat: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor menumpaskan aktiviti penyeludupan rokok putih dengan rampasan 114 peti yang mengandungi 5,700 karton dalam sebuah lori, semalam.
Rampasan yang dianggarkan bernilai RM2.3 juta termasuk cukai itu dibuat selepas menahan lori tiga tan yang dikesan dipandu dalam keadaan mencurigakan di Chabang Empat, di sini, jam 4 pagi.
Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Zulafendy Hassan berkata, lori itu dikesan menghala ke Kampung Ana.
Menurutnya, anggota pasukan menghubungi pasukan serbuan sambil mengekori dan memintas sebelah sisi pemandu kenderaan berat itu sambil memperkenalkan diri untuk menghentikan lori terbabit.
“Arahan diberi beberapa kali supaya lori dihentikan namun tidak diendahkan sebaliknya terus dipecut laju.
“Bantuan daripada Pusat Kawalan Tumpat diminta untuk mendapatkan kereta peronda bagi menghentikan lori ditambah, memandangkan lori turut diiringi dua kereta yang dipandu tonto.
“Kedua-dua kenderaan yang dinaiki tonto bertindak agresif dan cuba melanggar anggota kami yang menaiki kereta serta bermotosikal hingga hampir terbabas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Zulafendy berkata, anggotanya terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar lori dan dua kereta yang dinaiki tonto namun gagal.
Menurutnya, semua kenderaan terus dipecut dan dipandu secara berbahaya.
Katanya, insiden mengejar itu berlarutan setengah jam sehingga memasuki daerah Pasir Mas.
“Pemandu lori tiba-tiba melompat keluar menyebabkan kenderaan itu terbabas dan melanggar tiang.
“Tiga tayar lori terbabit pecah disyaki melanggar batu tajam semasa insiden melarikan diri.
“Pemeriksaan lanjut menemui 114 kotak mengandungi 5,700 karton bersamaan 1,140,000 batang rokok putih dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.
“Kesemua rampasan dibawa ke Markas Operasi untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK) ,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd