Polis tidak lindungi Nicky Liow

Polis tidak lindungi Nicky Liow

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sama sekali tidak berunding dengan mana-mana pihak berhubung penahanan Nicky Liow semalam.

Malah, siasatan terhadap Nicky Liow berhubung kegiatan jenayah terancang yang dikaitkan dengannya telah pun dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJK) sejak 15 Mac tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, hasil siasatan berkenaan, sebanyak 68 serbuan dijalankan di sekitar Selangor bagi menahan Nicky dan ahli kumpulannya.

Kata beliau, susulan daripada itu, sebanyak 15 ahli kumpulannya ditahan dan dituduh di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya termasuk Nicky yang dituduh secara ‘in-absentia’ pada 9 April tahun lalu.

“Pada 30 September Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas tanpa membebaskan Nicky bagi jenayah terancang ekoran permohonan Pejabat Peguam Negara (AGC) bagi menunggu siasatan membabitkan kesalahan pengubahan wang haram dilengkapkan.

“Namun begitu, peguam Nicky telan memfailkan rayuan dan berjaya mendapat perintah dibebas dan dilepaskan pada 23 Februari lalu, “katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata Mohd. Kamarudin, AGC kemudiannya memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan atas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan dan melepaskan Nicky pada 8 Mac lalu.

Beliau berkata, berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi, peguam Nicky menghantar surat kepada polis menyatakan kesediaan anak guamnya menyerah diri.

“Nicky kemudiannya hadir menyerah diri di Pejabat JSJK Bukit Aman semalam sebelum ditahan.

“Siasatan telah dibuat dan PDRM tidak melindungi sesiapa,” jelasnya.

Hari ini, Nicky mengaku tidak bersalah atas 26 pertuduhan terbabit pengubahan wang haram berjumlah RM36 juta di Mahkamah Sesyen Shah Alam. – UTUSAN