am@hmetro.com.my
Shah Alam: Polis Selangor meningkatkan kawalan kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan keluarga susulan insiden di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya di sini petang semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar bagaimanapun beliau tidak dapat mendedahkan sebarang bentuk kawalan keselamatan yang diberikan kepada keluarga bekas Timbalan Presiden PKR itu.
“Ada, tetapi saya tidak boleh dedahkan nanti orang akan tahu apa bentuk kawalan keselamatan yang dibuat. Tapi memang ada, beliau di bawah kawalan polis,” katanya dalam sidang media berhubung kes terbabit di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, petang tadi.
Shazeli berkata anak lelaki Rafizi yang berumur 12 tahun disuntik oleh suspek di bahagian lengan kiri dan sampel darah mangsa sudah diambil untuk dianalisa oleh hospital.
“Setakat ini belum tahu lagi (suntikan). Kita tunggu keputusan nanti. Tapi insya-Allah saya percaya dia akan diberi keutamaan.
“Setakat ini tidak ada masalah (mangsa), selesai pemeriksaan perubatan dan doktor pun memberi jaminan tidak ada yang membimbangkan dan keadaan mangsa baik,” katanya.
Menurutnya, susulan insiden terbabit, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 14 (D), Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




