Polisi baik pulih jalan JKR ditetapkan 24 jam

Polisi baik pulih jalan JKR ditetapkan 24 jam

mahani@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (JKR) di bawah polisi penyelenggaraan aset menetapkan konsesi jalan Persekutuan yang dilantik perlu membaik pulih kerosakan jalan ‘pothole’ dengan membuat tampalan sementara serta-merta dalam tempoh 24 jam.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata proses tampalan kekal yang seterusnya perlu dilaksanakan dalam tempoh tiga hari.

“Perkara itu termaktub dalam deklarasi JKR melalui piagam pelanggannya berhubung prosedur kerosakan jalan secara ‘pothole’, iaitu konsesi Jalan Persekutuan perlu membuat tampalan sementara dalam tempoh satu hari, manakala tampalan kekal perlu dilaksanakan dalam tempoh tiga hari.

“Bagaimanapun bagi kerja pembaikan berskala besar, permohonan peruntukan perlu dibuat terlebih dahulu dan ia dibuat secara tahunan dan berfasa.

“Tempoh pembaikan pula akan mengambil masa di antara sebulan hingga setahun, tertakluk kepada jenis dan kompleksiti pembaikan serta kelulusan peruntukan yang diterima,” katanya kepada BH, hari ini.

Jumaat lalu, dua beradik lelaki maut selepas motosikal ditunggangi mereka hilang kawalan akibat terlanggar lubang di Jalan Sengkang-Felda Inas-Bandar Tenggara dalam perjalanan ke sekolah.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, mengesahkan mangsa dikenal pasti sebagai Norhazim Kamaruzaman, 17, dan adiknya yang membonceng, Nur Alif Ikhwan Kamaruzaman, 16.

Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dari arah Felda Inas menghala ke bandar Tenggara dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ )1987.

Dalam pada itu, Alexander berkata, setiap tahun JKR bersama syarikat konsesi yang dilantik melaksanakan pemeriksaan ke seluruh rangkaian jalan Persekutuan bagi proses penyelenggaraan baik pulih jalan.

“Hasil pemeriksaan ini kemudiannya akan dibawa kepada kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya untuk kelulusan.

“Selepas menerima kelulusan peruntukan kerja daripada kerajaan, JKR akan mengarahkan syarikat konsesi melaksanakan kerja-kerja pembaikan jalan seperti dikenal pasti seperti ‘overlay’ mahupun kaedah membuang lapisan turapan yang rosak (mill) dan menggantikan dengan lapisan turapan baru (pave),” katanya.

Mengulas lanjut, katanya kerja berkenaan boleh dilaksanakan dalam tempoh tiga minggu hingga ke tiga bulan termasuk pengurusan trafik sepanjang tempoh pembaikan yang dilakukan selepas peruntukan diterima.

“Bagaimanapun ia bergantung kepada ketersediaan konsesi, perancangan kerja dan penyelarasan bersama agensi terbabit di lokasi pembaikan,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata jalan negeri, jalan perbandaran dan jalan desa perlu mempunyai prosedur operasi standard (SOP) sama seperti jalan Persekutuan iaitu sebarang kerosakan jalan berlubang diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

“Apapun kita akan mendapat laporan penuh mengenai kejadian esok dan kerja penampalan jalan dibuat serta-merta hari sama kejadian pada Jumaat lalu.

“Daripada laporan awal konsesi, lubang yang dikatakan punca kemalangan adalah di pinggir jalan yang mana ada serpihan tar dan bukan lubang di tengah jalan.

“Kita mengucapkan takziah kepada keluarga atas kehilangan dua ahli keluarga akibat kemalangan terbabit dan rasa kesal atas insiden itu,” katanya.

Ditanya mengenai punca jalan rosak, Ahmad berkata, ia disebabkan tiga perkara iaitu kenderaan lebih muatan, faktor cuaca dan kualiti jalan.

“Setiap bencana seperti banjir, keadaan hujan panas ditambah dengan kenderaan membawa lebih muatan, ini menyebabkan jalan yang baharu dibaik pulih kembali rosak dan bukan kerana kerja pembaikan tidak sempurna.

“Setiap jalan mempunyai jangka hayat dan kerja pembaikan baru dibuat akan kembali rosak jika dilalui kenderaan berat, dilanda banjir serta faktor kualiti jalan tidak memuaskan membuatkan jalan kembali berlubang,” katanya.

Tamat

From: Mahani

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top