am@hmetro.com.my
Port Dickson: Politeknik Port Dickson mencipta sejarah apabila menduduki tempat pertama dalam kalangan semua politeknik di Malaysia dan institusi TVET di Pan-Asia.
Pengarah Politeknik Port Dickson, Hasan Mohd Sharif berkata, kejayaan itu menjadikan Politeknik Port Dickson sebuah institusi yang unggul dalam dalam sistem pendidikan TVET di peringkat antarabangsa.
“Politeknik Port Dickson dianugerah dengan Platinum Award semasa akreditasi Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC) pada tahun 2023.
“Sudah pastinya kita berbangga apabila PPD menjadi sebuah institusi yang unggul dalam sistem pendidikan TVET di peringkat antarabangsa. Pengiktirafan ini juga adalah untuk negara,” katanya tadi.
Katanya, terdahulu, mereka menyambut lawatan Delegasi The Don Bosco Salesian Sisters, Filipina bagi Penanda Aras Antarabangsa Akreditasi Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC).
“Lawatan delegasi Filipina ini diadakan pada 26 dan 27 Ogos baru-baru ini adalah sebagai usaha penanda aras dalam persiapan The Don Bosco Salesian Sisters menghadapi akreditasi Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC) di institusi mereka.
“Kita diberi anugerah dengan Platinum Award semasa akreditasi Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC) untuk tahun 2023,” ujarnya.
Hasan berkata, lawatan mereka membabitkan pelbagai aktiviti termasuk tinjauan ke fasiliti-fasiliti kampus, sesi perbincangan bersama kakitangan akademik dan pentadbiran.
“Mereka juga turut berinteraksi bersama pelajar, lawatan industri serta sesi tandatangan Letter of Intent (LoI) diantara Politeknik Port Dickson dan The Don Bosco Salesian Sisters.
“Delegasi ini juga menilai, melihat dan belajar daripada amalan terbaik yang dilaksanakan oleh Politeknik Port Dickson, yang boleh dijadikan panduan untuk meningkatkan standard institusi mereka sendiri dalam mencapai akreditasi APACC,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




