APABILA mengkaji pemikiran politik, perkara pertama sekali perlu jelas, ialah takrifnya yang berbeza-beza.
Islam mentakrifkan politik (siyasah) sebagai pengurusan, pentadbiran dan kepimpinan. Ia berdasarkan panduan wahyu berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Baqarah pada ayat 30:
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”.
Perkataan ‘khalifah’ dihuraikan oleh Syeikh Abu Hasan Ali al-Nadwi;
إقامة الدين وسياسة الدنيا به
“Mendirikan agama dan menguruskan dunia dengan (panduan) agama.”
Nabi S.A.W pernah bersabda;
كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الأَنْبِيَاءُ
“Kaum Bani Israel pada zaman dahulu pemimpin siasah (politik) mereka ialah para Nabi.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sudah pasti berbeza dengan takrifan Barat, yang berbeza-beza mengikut teori ahli falsafahnya.
Ada yang mentakrifkan politik itu sebagai hubungan kerjasama, rundingan, konflik dan sebagainya.
Ada yang mentakrifkan sebagai penguasaan, maka modus operandi mereka adalah penjajahan. Sama ada penjajahan negara, atau pemikiran.
Ada yang mentakrifkan sebagai menang, atau mencapai matlamat. Maka modus operandi mereka mesti mengalahkan musuh.
Cumanya, lately, perbincangan politik Barat lebih tertumpu kepada Liberalisme dan Demokrasi. WaLlahua’lam.
Kesan cara fikir Barat dalam pentakrifan politik ini telah membawa kepada jatuh menjatuh, cantas, sailang dan sebagainya.
Ini kerana, masing-masing mempunyai ideanya tersendiri untuk membina negara, lalu dia perlu menang dan menguasai. Sesiapa yang menjadi penghalangnya, perlu dikerat.
Termasuk juga mereka yang berkepentingan, inginkan kekayaan hasil bumi, dan macam-macam lagi keinginan yang diingini.
Pada pandangan saya, teori-teori politik Barat yang terlalu berbelit-belit, mungkin sukar untuk diselarikan antara satu sama lain.
At the end, manusia itu berperang, dan bermusuh-musuhan antara satu sama lain.
Ia berbeza dengan Islam. Politik yang ditakrifkan oleh Islam, awal-awal lagi meletakkan bahawa yang berkuasa hanyalah Allah.
Maka, mana-mana pemerintah Islam pun, wajib untuk melaksanakan perintah Allah dan RasulNya.
Cuma, dalam sejarah Islam, pergeseran sesama Islam tetap wujud. Iaitu antara pemerintah Islam yang berkepentingan duniawi, dan kumpulan yang ingin menyekat kerosakan ini.
Ada juga pemerintah Islam yang tak ikut ketetapan al-Quran dan Hadis. Lalu ada kumpulan yang ingin menggantikannya.
Ada juga perselisihan dalam bentuk ijtihadi. Asalnya tidak bergaduh. Tetapi ada sepuak dua yang jadi tukang bakar, dan puak yang jahil melampau.
Jadi, perkara pertama yang perlu difikirkan ialah menghidupkan (إحياء) kembali takrifan politik Islam dan matlamatnya.
Agar takrifan itu tidak sekadar ‘terkurung’ dalam kitab-kitab, akan tetapi diterjemahkan dalam bentuk praktikal.
Apabila masing-masing jelas perbezaan antara takrifan politik antara Islam dan Barat, maka, letakkan kekuasaan itu pada Allah dan RasulNya.
Sesiapa sahaja yang memerintah, perlu memperjuangkan nas. Apabila berselisih, kembali kepada nas melalui wacana dan perbincangan yang harmoni.
MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 13/7/2023