Politik tidak boleh dipisahkan daripada Islam – Hadi Awang

Politik tidak boleh dipisahkan daripada Islam – Hadi Awang

Kuala Lumpur: PAS tidak pernah melarang mana-mana pihak sama ada daripada kalangan agamawan atau bukan agamawan untuk menyuarakan pandangan termasuk menyokong atau menentang tindakan yang berlaku di Perlis.

Bagaimanapun Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata kebebasan bersuara dalam negara demokrasi perlu disertai dengan ilmu dan kefahaman yang betul serta tidak bercakap secara melulu atau berlagak tahu tanpa asas pengetahuan yang didakwanya hanya akan memalukan diri sendiri.

“Prinsip tidak memisahkan Islam daripada politik yang menjadi aqidah perjuangan PAS dan hal ini termaktub dalam Perlembagaan parti.

“Segala langkah dan tindakannya dibuat berpandukan fiqh politik yang menepati al-Quran, al-Sunnah dan ijtihad ulama yang bertafaqquh.

“Semua tindakan dilakukan mengikut disiplin jemaah seperti ditetapkan dalam undang-undang tubuhnya,” katanya dalam Minda Presiden PAS: Politik Tidak Berpisah Daripada Islam di yang disiarkan di Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan, PAS tidak bercakap dengan cara yang terpilih dalam melaksanakan kewajipan amar ma’ruf nahi munkar.

“Bahkan, semua ahli PAS ditarbiah menghadapi sesiapa sahaja dan tidak takut kepada apa-apa tindakan daripada pihak berkuasa yang paling tinggi dalam negara hinggalah tindakan rakyat yang menghukum melalui pilihan raya.

“PAS berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah dalam semua urusan, bukan terpilih mengikut kemahuan atau disebabkan ditakut-takutkan,” katanya.

Abdul Hadi berkata, Allah SWT telah menetapkan kewajipan manusia merangkumi tiga aspek utama iaitu ibadah, khilafah atau pemerintahan (politik) serta amanah yang saling berkait dan tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain.

Katanya, Islam bukan sekadar mengatur urusan ibadah ritual, malah merangkumi pentadbiran negara dan keadilan sosial.

Dalam kenyataan sama, beliau menegaskan, penubuhan PAS oleh kumpulan Islam selepas kehilangan negara adalah usaha menunaikan kewajipan menyambung perjuangan Islam dengan dipimpin oleh ulama dan ilmuwan Islam dalam segala lapangan.

“PAS terus beristiqamah dalam perjalanannya berpandukan Islam yang sempurna daripada al-Quran dan al-Sunnah serta ijtihad ulama’ terdahulu dan terkini secara berjemaah.

“Walaupun terpaksa menempuhi perjalanan yang paling mencabar sehingga bersilih ganti rebah dan bangun, menang dan kalah.

“Hal ini demikian kerana PAS menjadikan politik satu kewajipan dan tidak menjadikan politik satu permainan dan kerja sambilan,” katanya.

Beliau berkata, PAS berpolitik dengan ilmu dan matang dalam memahami isu serta tidak boleh diganggu oleh mereka yang tidak bertafaqquh dalam politik dan salakan anjing yang menjadi khadam kepada syaitan yang mengacau dalam perjalanannya.

“PAS tidak menyerah kalah walaupun ramai dalam kalangan ahli dan pemimpinnya menjadi mangsa kezaliman.

“Maka untuk melaksanakan kewajipan politik Islam dalam perkara yang besar, diwajibkan baiah kepada pemimpin dan petugas yang penting seperti wakil rakyat supaya taat dan wala’ (setia) kepada arahan dan perintah kepimpinan jemaah yang tidak bercanggah dengan dasar Islam bersifat rukun dalam perjuangan,” katanya.

Abdul Hadi berkata, PAS telah membuktikan kejayaannya di beberapa negeri yang dikuasainya dengan menegakkan kerajaan yang bersih sehingga diakui oleh kawan dan lawan.

“Hal ini dilakukan dengan berpegang teguh kepada prinsip aqidah dan konsep muhasabah yang betul. PAS juga boleh bekerjasama serta berta’awun dengan semua pihak dan membatalkannya.

“Malah, PAS juga menerima pandangan semua pihak yang bersifat matang dan hikmah dan bukannya mendengar cakap sewenang-wenang oleh kalangan yang tidak istiqamah dan berlagak.

“Dengan ini PAS menolak kalangan yang berani memberi nasihat yang terpilih sahaja dan berlagak berani, bukan kerana benar tetapi kerana mengampu yang meletakkan fikirannya di dalam perutnya,” katanya.

Katanya, PAS juga menolak kalangan yang berilmu tetapi tidak bertafaqquh dalam urusan yang diperkatakannya lalu membuat tafsiran yang salah tanpa kefahaman dalam bidang yang disentuhnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top