Populasi kura-kura gergasi atasi penduduk Seychelles

Populasi kura-kura gergasi atasi penduduk Seychelles

SEYCHELLES: Populasi kura-kura gergasi Aldabra yang sebelum ini diancam kepupusan kini mencecah 180,000 ekor, mengatasi jumlah penduduk manusia di Seychelles yang dianggarkan sekitar 122,000 orang.

Tinjauan yang dijalankan Yayasan Kepulauan Seychelles (SIF) bersama Universiti Exeter di United Kingdom (UK) menganggarkan kira-kira 180,000 ekor kura-kura gergasi hidup di Atol Aldabra, sekali gus mencatatkan jumlah tertinggi pernah direkodkan bagi spesies itu.

Anggaran itu menunjukkan spesies tersebut bukan sahaja berjaya bertahan daripada ancaman kepupusan, malah kini mempunyai populasi yang jauh melebihi penduduk di negara kepulauan kecil di luar pantai timur tanah besar Afrika.

Memuatkan artikel berkaitan…

Atol Aldabra merupakan antara hanya dua lokasi di dunia yang menjadi habitat semula jadi kura-kura gergasi, manakala satu lagi populasi yang jauh lebih kecil terdapat di Kepulauan Galapagos, Ecuador.

Atol Aldabra, antara ekosistem pulau paling terpelihara di dunia, menjadi habitat kepada pelbagai spesies unik yang hidup subur di kawasan terpencil itu.

Populasi kura-kura gergasi Aldabra pernah merosot ketara akibat pemburuan dan eksploitasi besar-besaran pada abad ke-19, sehingga jumlahnya di pulau itu susut kepada 1,000 ekor serta dikategorikan spesies hampir pupus.

Usaha pemuliharaan membantu menjadikannya sebagai kawasan perlindungan alam semula jadi pada 1981. 

Setahun kemudian, Atol Aldabra diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, yang memberi ruang populasi haiwan itu kembali meningkat.- CNN

 

Scroll to Top