Porsche 911 Turbo S antara 5 kenderaan kena sita

Porsche 911 Turbo S antara 5 kenderaan kena sita

am@hmetro.com.my

Pelabuhan Klang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor menyita lima kenderaan termasuk jenis Porsche 911 Turbo S, menerusi serbuan di gudang berlesen serta gudang zon bebas di sini, antara 17 hingga 27 Oktober lalu.

Kenderaan berkenaan dipercayai disembunyikan bagi mengelakkan dikenakan duti eksais.

Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, berdasarkan siasatan didapati tiga kenderaan berpetrol terpakai itu melebihi tempoh penyimpanan selama tiga bulan yang dibenarkan dalam gudang berlesen.

Katanya, ia merangkumi jenis Toyota Granace, Porsche 911 Turbo S dan BMW 420i M Sport Auto dengan jumlah duti cukai gagal dibayar pemilik gudang.

“Turut disita adalah dua kenderaan elektrik jenama Dongfeng Forthing yang dipercayai tidak mempunyai permit import walaupun telah diikrarkan melalui borang zon bebas.

“Kelima-lima kenderaan itu dipercayai dibawa dari negara Asia Timur,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Pelabuhan Utara di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua kenderaan itu bernilai lebih RM1 juta termasuk cukai dan duti import, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) serta (d) Akta Kastam 1967.

Dalam kes berasingan, JKDM Selangor menyita 108,874 kilogram gelung keluli, dianggarkan bernilai RM909,642 (termasuk duit dan cukai) dalam empat kontena di zon bebas Pelabuhan Utara.

Mohamad Azhar berkata, pemeriksaan pada 22 Oktober itu mendapati gelung keluli berkenaan diimport tanpa permit, dan keseluruhannya berjumlah 28 gelung dengan berat 108,874 kilogram.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top