am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Sebuah premis rumah kedai satu tingkat yang dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran di Taman Sejati Indah diserbu polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, premis itu dipercayai menawarkan perkhidmatan seks kepada warga asing.
Beliau berkata, dalam serbuan jam 2.30 petang itu, seorang wanita warga Thailand dipercayai pelacur patah kaki kanan selepas terjun dari rumah kedai itu untuk melarikan diri.
“Wanita itu kemudian ditahan dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan.
“Dalam operasi ini, tiga wanita warga Thailand dipercayai pelacur berusia 30-an ditahan bersama tiga lelaki warga Bangladesh dipercayai pelanggan untuk
siasatan.
“Premis itu dipercayai beroperasi sejak 2022 tetapi sekejap aktif, sekejap tidak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hanyan berkata, harga yang ditawarkan adalah antara RM100 hingga RM150.
Beliau berkata, tahun ini sahaja, premis itu sudah dua kali diserbu.
“Pendekatan terbaru untuk penguatkuasaan adalah dengan meminta Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) merobohkan binaaan bilik dalam premis terbabit.
“Selain itu kita akan minta pihak Syarikat Air Darulaman (SADA) memotong bekalan air di situ,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd