Portal rasmi KKM yang digodam tidak simpan rekod perubatan, data pesakit

Portal rasmi KKM yang digodam tidak simpan rekod perubatan, data pesakit

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan portal rasminya yang digodam tidak menyimpan rekod perubatan pesakit atau data kesihatan individu.

Sebaliknya jelas kementerian itu, portal berkenaan hanya digunakan bagi penyampaian maklumat korporat dan maklumat awam.

“KKM menegaskan bahawa portal ini hanya digunakan bagi penyampaian maklumat korporat dan maklumat awam,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut KKM, pengoperasian portal terbabit dihentikan buat sementara waktu bagi membolehkan pengukuhan kawalan keselamatan siber dilaksanakan.

“Setakat ini, tiada petunjuk bahawa insiden berkenaan menjejaskan sistem kritikal atau mengakibatkan kebocoran data kritikal KKM,” jelas kementerian itu.

Ujar KKM, sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan KKM terus beroperasi seperti biasa dan dilindungi melalui infrastruktur yang berasingan dengan kawalan keselamatan siber ketat.

“KKM sedang menjalankan siasatan dan tindakan pemulihan bersama agensi berkaitan.

“Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Sabtu lalu, media melaporkan laman sesawang rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) www.moh.gov.my, dipercayai digodam selepas memaparkan mesej yang didakwa ditinggalkan pihak yang menceroboh pelayan laman web berkenaan.

Melalui semakan, tangkap layar yang dikongsikan di media sosial menunjukkan laman sesawang rasmi KKM memaparkan mesej dari MUSHR00W, selain memaparkan akaun Telegram yang dipercayai milik penggodam.

Paparan itu turut memuatkan slogan”We are Anonymous. We are Legion. We do not forgive. We do not forget. Expect us.”

Selain itu, ia turut menyenaraikan beberapa nama atau kumpulan iaitu “WebshellsR”, “Familia”, “Bibil”, “MeshSec”, “Illegalplatform.org”, “Roween” dan “Thiscitze”.

 

Scroll to Top