Pos Malaysia keluarkan setem khas Hari Wanita

Pos Malaysia keluarkan setem khas Hari Wanita

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pos Malaysia Berhad mencipta sejarah apabila buat julung kali mengeluarkan Setem Pos Khas sempena Hari Wanita Antarabangsa 2025, sebagai simbol penghargaan terhadap peranan dan sumbangan wanita dalam masyarakat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerjasama antara pihaknya dengan Pos Malaysia memperlihatkan bagaimana golongan wanita diraikan dengan penghasilan setem yang ditaja oleh syarikat itu.

“Inspirasi penghasilan setem ini adalah daripada Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) sendiri yang mahu membawa kelainan pada sambutan (Hari Wanita) kali ini dengan kerjasama Pos Malaysia.

“Ini adalah antara aktiviti yang boleh mengingatkan bahawa golongan wanita adalah penting bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

“Disebabkan itu, kami pamerkan wajah-wajah wanita pada gambar setem berkenaan untuk mengingatkan bahawa kementerian perlu bekerjasama dengan golongan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan setem khas berkenaan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Nancy berkata, KPWKM juga perlu memperkasakan dan melahirkan lebih ramai pemimpin wanita tanpa mengira apa juga bidang, sama ada ekonomi, sosial atau politik dengan pembabitan golongan berkenaan.

“Kami juga mahu membuka peluang, terutama kepada wanita muda, menerusi pelbagai penganjuran kerana tidak mahu ada anggapan bahawa mereka disisihkan.

“Dalam program sempena sambutan Hari Wanita ini juga, kami bawa banyak rakan strategik untuk mendedahkan produk mereka bukan sahaja kepada kementerian tetapi juga kepada organisasi lain, katanya.

Setem Pos Khas itu adalah keluaran setem yang ketiga bagi tahun ini. Terdapat beberapa produk yang terkandung dalam keluaran setem itu.

Ini termasuk dua reka bentuk setem yang disebut sebagai se-tenant, iaitu dua reka bentuk dicantumkan dalam satu lembaran dengan denominasinya bernilai RM1.30 setiap satu.

Selain itu, terdapat sampul surat hari pertama dengan cap tarikh istimewa yang menggunakan logo Hari Wanita Antarabangsa 2025.

Edisi khas setem ini juga mempunyai poskad dan folder, dengan set lengkap bagi keluarannya berharga RM38.10.

Koleksi lengkap keluaran ini boleh didapati di Pejabat Pos terpilih di seluruh negara atau secara dalam talian menerusi laman sesawang Pos Malaysia di www.pos.com.my/shop.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top