Pos polis diserang, 3 pegawai disahkan maut, korban dijangka meningkat

Pos polis diserang, 3 pegawai disahkan maut, korban dijangka meningkat

Dera Ismail Khan, Pakistan: Serangan bom kereta di sebuah pos polis mengorbankan sekurang-kurangnya tiga pegawai di barat laut Pakistan pada Sabtu.

Ia diikuti serang hendap terhadap anggota polis yang bergegas ke lokasi kejadian untuk memberikan bantuan, kata pegawai keselamatan.

Pegawai polis, Sajjad Khan berkata, kebanyakan daripada 15 pegawai yang bertugas di pos polis di pinggir bandar Bannu itu dikhuatiri maut dan fasiliti berkenaan musnah sepenuhnya.

Katanya, pertempuran masih berterusan dan tahap kerosakan sebenar hanya dapat dikenal pasti selepas operasi keselamatan tamat.

“Pengganas terlebih dahulu merempuh pos polis menggunakan kereta yang sarat dengan bahan letupan sebelum menceroboh masuk ke premis itu dan melepaskan tembakan ke arah anggota polis,” kata seorang lagi pegawai polis yang enggan dikenali.

Katanya, pasukan bantuan yang dihantar ke lokasi turut diserang hendap kumpulan berkenaan menyebabkan beberapa anggota cedera dan terbunuh.

Sumber polis turut memaklumkan kumpulan itu dipercayai menggunakan dron dalam serangan berkenaan.

Beberapa ambulans daripada agensi menyelamat dan hospital awam dikerahkan ke lokasi kejadian sementara pihak berkuasa mengisytiharkan darurat di hospital kerajaan di Bannu.

Satu pakatan militan yang dikenali sebagai Ittehad-ul-Mujahideen mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Serangan itu berpotensi menyemarakkan semula ketegangan di sepanjang sempadan Pakistan dengan Afghanistan.

Pertempuran paling buruk dalam tempoh beberapa tahun tercetus antara kedua-dua pihak pada Februari lalu apabila Pakistan melancarkan serangan udara di wilayah Afghanistan yang menurut Islamabad menyasarkan kubu kuat kumpulan militan.

Sejak itu, ketegangan dilihat semakin reda dengan hanya beberapa pertembungan kecil berlaku sekali-sekala di kawasan sempadan, namun tiada gencatan senjata rasmi dicapai.

Islamabad terus menuduh Kabul melindungi militan yang didakwa menggunakan wilayah Afghanistan sebagai pangkalan untuk merancang serangan di Pakistan.

Bagaimanapun, pihak Taliban menafikan dakwaan itu dan menegaskan bahawa masalah keganasan di Pakistan adalah isu dalaman negara itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top