Positif Covid-19 buat kali kedua, Siti Nurhaliza bimbang suara terganggu

Positif Covid-19 buat kali kedua, Siti Nurhaliza bimbang suara terganggu

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dijangkiti Covid-19 buat kali kedua baru-baru ini, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza yang kini sudah selesai menjalani kuarantin mengakui risau sekiranya jangkitan itu mengganggu peti suaranya lagi.

Menurutnya, jangkitan kali kedua ini benar-benar mencabar dan menyakitkan berbanding jangkitan kali pertama yang dialaminya.

“Bohonglah kalau saya kata tak risau, sebab suara saya digunakan sebagai aset. Memang batuk berkahak adalah sesuatu yang sangat mengganggu.

“Berbeza dengan jangkitan Covid-19 kali pertama di mana tak ada demam dan tak sakit badan, kali ini, saya alami sakit badan yang sangat sakit, demam, dan kemudian panas-panas.

“Harap-harap, apa yang berlaku ini tak mengganggu peti suara saya,” katanya kepada Harian Metro.

Siti juga mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berjaga-jaga memandangkan kes jangkitan baharu Covid-19 semakin meningkat semula.

“Dalam keadaan sekarang yang semakin meningkat semula, semua orang kena sentiasa berjaga-jaga. Kalau tak sihat, cepat-cepat buat pemeriksaan kesihatan.

“Saya pun bila dapat tahu dijangkiti, cepat-cepat ambil vitamin C dan antibiotik, seterusnya menghabiskan kuarantin selama tiga hari,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan suaranya terkini, Siti berkata, dia bersyukur kerana dapat kembalikan suara yang lebih ‘ringan’ dan boleh kembali menyanyikan lagu lamanya.

“Syukur sangat sebab dah makin baik. Maknanya, bila saya nyanyikan lagu-lagu lama, bunyi suara saya ada rasa ‘ringan’ sedikit.

“Kalau tak, rasa ‘berat’, kasar dan nafas tak cukup. Jadi, ini proses yang sangat lama dan hampir setahun juga untuk saya kembali dapatkan suara ‘ringan’ seperti ini.

“Tiba-tiba, saya dijangkiti Covid-19 semula. Ini saya baru selesai kuarantin. Alhamdulillah, saya dah habis kuarantin dan harap-harap, tak ada apa-apa. Cuma tinggal batuk sahaja,” kata Siti ketika ditemui di Majlis Ukhuwah dan Apresiasi serta Pelancaran Kempen Jihad Yayasan Nurjiwa di sini hari ini.

Terdahulu, Siti pernah dijangkiti Covid-19 pada pada 2022 sehingga menyebabkan masalah pada peti suaranya.

© New Straits Times Press (M) Bhd