KUALA LUMPUR : Platform penstriman tempatan, UTV terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri hiburan digital menerusi tayangan Filem TV (FTV) terbaharu, Poskad Cinta Dari Istanbul yang mula disiarkan pada 29 April 2026, jam 9 malam.
Naskhah ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan Poskad Cinta Dari Auckland yang sebelum ini mencetuskan fenomena dalam kalangan penonton, khususnya peminat gandingan Fattah Amin dan Amira Othman.
Presiden UTV merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Adzliana Hasan berkata, kejayaan luar jangka karya terdahulu menjadi pemangkin kepada penerbitan sekuel berkenaan. Menurut beliau, sambutan hangat penonton terhadap karya tersebut, ditambah pula dengan keterujaan melihat gandingan Fattah dan Amira menjelang hari pernikahan mereka, telah memberi impak besar kepada kejayaannya.
“Melihat sambutan itu, kami tampilkan Poskad Cinta Dari Istanbul sebagai kesinambungan. Kali ini penonton dapat menyaksikan mereka sebagai pasangan suami isteri, sesuatu yang dinantikan ramai,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sokongan peminat bukan sahaja menyumbang kepada kejayaan karya berkenaan, malah memperkukuhkan kedudukan UTV sebagai platform pilihan. Katanya, apa yang dihasilkan bukan hanya untuk pihak produksi, tetapi juga untuk peminat yang sentiasa memberikan sokongan sehingga menjadikan mereka antara penyokong setia platform tersebut.
Mengulas mengenai kemungkinan kesinambungan seterusnya, beliau tidak menolak potensi penerbitan karya baharu di lokasi lain dan memaklumkan bahawa perbincangan awal telah dilakukan. Bagaimanapun, jelasnya, perkara itu masih bergantung kepada perkembangan jalan cerita dan sekiranya semuanya berjalan lancar, kesinambungan tersebut berkemungkinan dapat direalisasikan sebelum hujung tahun dengan latar negara serta musim yang berbeza.
Poskad Cinta Dari Istanbul mengisahkan kehidupan pasangan baharu, Mira dan Din, yang diuji apabila Mira menerima sekeping poskad misteri dari Istanbul bertanda huruf “E”. Perjalanan mereka ke kota tersebut menemukan Mira dengan Effa, iaitu cinta pertama Din yang sedang berdepan ujian hidup, sekali gus membuka kembali kisah silam dan menguji kepercayaan serta kesetiaan dalam perkahwinan mereka.
Fattah yang membawakan watak Din menyifatkan peranannya kali ini lebih mencabar dari segi emosi kerana perlu menggambarkan konflik dalaman antara masa lalu dan tanggungjawab sebagai suami. Katanya, watak tersebut memberikan dimensi baharu dalam lakonannya.
Sementara itu, Amira yang memegang watak Mira berkata kekuatan cerita ini terletak pada kejujuran emosi yang dipaparkan. Menurutnya, Mira bukan sekadar seorang isteri, tetapi wanita yang berdepan dilema antara kepercayaan dan kebenaran, sekali gus membolehkan penonton merasai konflik tersebut dengan lebih dekat.
FTV ini berdurasi selama satu jam 52 minit dan ditawarkan pada harga RM9.50 menerusi platform UTV dalam genre komedi romantik. Selain Fattah Amin dan Amira Othman, karya ini turut dibintangi oleh Nora Danish sebagai Effa, Sherry Alhadad sebagai Anggun, Bell Ngasri sebagai Bell serta Ajai sebagai Mehmet. Naskhah ini diterbitkan oleh Datuk Nana Hasan dan diarahkan oleh Izuan Mokhtar.




