London: Pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou, menyuarakan rasa kecewa dan marah selepas pasukannya yang dilanda masalah kecederaan tewas 1-2 kepada Newcastle United dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Alexander Isak menjadi wira Newcastle dengan jaringan yang memastikan kemenangan keenam berturut-turut mereka dalam semua pertandingan.
Jaringan itu juga mengekalkan Magpies di tangga kelima, bersaing sengit dengan Chelsea untuk tempat dalam Liga Juara-Juara musim depan.
Spurs memulakan perlawanan dengan semangat tinggi apabila Dominic Solanke meletakkan mereka di depan seawal minit keenam.
Namun, Newcastle segera membalas dengan gol Anthony Gordon yang kontroversi sebelum Isak mencatat gol kemenangan.
Walaupun Tottenham kini terperosok di tangga ke-11 selepas hanya menang sekali dalam lapan perlawanan liga terakhir, Postecoglou tetap memuji semangat juang skuadnya yang kekurangan ramai pemain utama.
“Saya sangat bangga, sangat gembira dengan pemain-pemain ini, cara mereka bermain, dan pada masa sama, saya benar-benar marah kerana mereka tidak mendapat ganjaran yang sepatutnya,” kata Postecoglou.
“Saya sukakan segala-galanya hari ini. Para pemain diberi tugas besar, mereka tidak mencari alasan. Kami layak menang hari ini.”
Spurs beraksi tanpa penjaga gol utama, Guglielmo Vicario, serta beberapa pemain pertahanan seperti Micky van de Ven, Cristian Romero, Destiny Udogie, dan Ben Davies yang cedera.
Rodrigo Bentancur pula tidak dapat diturunkan akibat penggantungan.
Newcastle pula semakin menunjukkan aksi konsisten dengan Isak mencetak gol dalam tujuh perlawanan liga berturut-turut, menjadikan mereka ancaman serius dalam perebutan kedudukan empat teratas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




