bisnes@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia yang mematuhi standard halal dan memiliki sijil halal, berpotensi menembusi pasaran halal global yang kini bernilai lebih AS$2.3 trilion (RM10.04 trilion), kata Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Norsyahrin Hamidon.
Menurutnya, sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak hanya meningkatkan keyakinan pengguna Muslim terhadap produk, tetapi juga membuka peluang lebih luas untuk eksport produk itu ke pasaran antarabangsa.
Katanya, sijil halal juga tidak hanya terhad kepada pengguna Muslim, bahkan melalui konsep ‘Halal for Everyone’, produk yang menerima sijil halal juga menarik minat pengguna bukan Muslim, kerana ia melambangkan kualiti, kebersihan dan keselamatan yang ketat.
“Produk halal diakui memenuhi piawaian yang tinggi dalam pengurusan makanan dan keselamatan yang menjadikannya lebih menarik kepada pengguna bukan Muslim.
“Oleh itu, pasaran yang boleh diterokai oleh PKS dengan sijil halal adalah lebih luas,” katanya kepada Bisnes Metro.
Sehubungan itu, Norsyahrin berkata, DPMM menyarankan supaya PKS memfokuskan untuk membina keupayaan dalaman melalui penyertaan dalam latihan yang disediakan oleh syarikat diiktiraf Jakim dan agensi pelaksana dalam industri halal.
“Latihan ini penting untuk membantu PKS memahami keperluan pensijilan halal dan memastikan pematuhan piawaian halal sepanjang proses pengeluaran.
“Dengan ilmu yang tepat, PKS dapat memastikan integriti halal dalam setiap peringkat operasi dan pembabitan aktif dalam inisiatif yang dianjurkan kerajaan akan membantu memperkasakan perniagaan halal, serta meningkatkan daya saing di pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, PKS juga perlu sentiasa peka terhadap insentif disediakan kerajaan, seperti geran, subsidi dan bantuan teknikal, yang bertujuan meringankan beban kos dan mempercepatkan proses pensijilan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata, PKS perlu menimbangkan untuk memohon sijil halal, sekiranya belum berbuat demikian.
“Ini terutamanya untuk perniagaan dalam industri pembuatan dan pengedaran makanan dan minuman, barangan gaya hidup serta barangan pengguna.
“Selain menjamin keselamatan, kebersihan dan kesihatan barangan, persijilan halal juga dapat membuka pasaran kepada pengguna Muslim di dalam dan di luar negara,” katanya.
Menurutnya, proses pensijilan kini lebih ringkas dan cepat, kerana kebanyakan proses yang diperlukan sudah didigitalkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




