Potensi luas untuk diterokai

Potensi luas untuk diterokai

Tidak dapat dinafikan dalam dekad kebelakangan ini rantau Asia Tenggara semakin menjadi tumpuan kuasa besar untuk membina kerjasama ekonomi, keselamatan dan politik. Ia bukan sahaja kerana kedudukan geografi rantau ini, tetapi pembangunan ekonomi dan infrastruktur yang pesat juga membuka banyak peluang pelaburan serta pasaran baharu.

Bagi anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean), dominasi China dan Jepun sebagai kuasa ekonomi kedua serta ketiga terbesar dunia tidak dapat dinafikan. Kedua-dua negara itu juga mempunyai hubungan mendalam serta memainkan peranan yang besar dalam sejarah pembangunan negara Asia Tenggara.

Namun, negara Asean juga perlu mengambil kesempatan untuk terus memperkukuhkan hubungan dengan ekonomi dan kuasa pertengahan lain di Asia Timur seperti Taiwan serta Korea Selatan.

Taiwan dan Korea Selatan mengambil langkah proaktif apabila mengetengahkan hubungan diplomatik dengan negara Asean sejak beberapa tahun lalu.

Pengenalan Dasar Arah Selatan Baharu (New Southbound Policy– NSP) oleh Taiwan pada 2016 adalah iterasi polisi mendalam memanfaatkan aset kebudayaan, pendidikan, teknologi, pertanian dan ekonomi Taiwan dalam usaha meningkatkan integrasi serantau Taiwan serta menggalakkan pembangunan wilayah Indo-Pasifik yang lebih luas.

Taiwan mengetengahkan NSP sebagai antara strategi utama untuk menangani persaingan kuasa besar. Pada masa sama, Korea Selatan juga sedang meneruskan usaha mereka untuk meningkatkan kepentingan hubungan mereka bersama negara Asean melalui Inisiatif Solidariti Korea-Asean (Korea-Asean Solidarity Initiative -KASI) yang dilancarkan di bawah pimpinan Presiden Yoon Suk-Yeol.

Inisiatif itu dilancarkan selaras dengan Strategi Indo-Pasifik negara itu. Bagi Korea Selatan, objektif utama strategi ini bagi membangunkan kerjasama yang lebih komprehensif serta tidak hanya tertumpu pada isu ekonomi atau ancaman nuklear Korea Utara.

Ia mencerminkan kepentingan yang diletakkan oleh Korea Selatan dan Taiwan dalam hubungan mereka dengan rantau Asia Tenggara serta negara Asean.

Memandangkan Malaysia akan menyandang kerusi Pengerusi Asean pada 2025, adalah wajar bagi Malaysia untuk memanfaatkan peranannya bagi membalas semangat yang ditunjukkan oleh kedua-dua rakan kongsi ini.

Untuk mengukuhkan lagi hubungan Asean dengan Taiwan dan Korea Selatan, langkah proaktif seperti menggalakkan dialog, memupuk kepercayaan dan menangani cabaran bersama adalah penting.

Selain itu, kunjungan yang kerap antara ketua-ketua negara Asean dengan rakan kongsi Taiwan dan Korea Selatan akan menggalakkan diskusi serta perkongsian idea strategik bagi membuka jalan membina sinergi yang lebih mantap dan kemakmuran bersama.

Perlu diingat, status negara anggota Asean sebagai negara kecil dan sederhana tidak sedikit pun mengurangkan nilai kepentingan mereka dalam mengimbangi kuasa negara yang lebih besar.

Dalam landskap dinamik hubungan antarabangsa, Asean memainkan peranan yang penting dalam membina kerjasama serta dialog sesama negara ahli dan rakan strategiknya.

Melalui pembabitan aktif dengan rakan kongsi yang mempunyai hala tuju sama, Asean berpotensi tinggi untuk menjadikan rantau ini peneraju kedamaian dan keharmonian antarabangsa. Contohnya, negara Asean menjadi tuan rumah bagi dialog antara Korea Utara serta Amerika Syarikat pada 2018 dan 2019.

Selain itu, Forum Serantau Asean (Asean Regional Forum) atau ARF juga adalah antara satu-satunya platform antarabangsa yang dianggotai oleh Korea Utara.

Kebanyakan negara Asean mempunyai kepentingan ekonomi yang ketara dengan Taiwan. Selain itu, ramai rakyat negara Asean juga bekerja dan belajar di Taiwan. Pada 2023 statistik dari Taiwan melaporkan bahawa lebih 780,000 rakyat negara Asean dari Malaysia, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Filipina menetap di negara itu. Memandangkan ketegangan yang semakin meningkat antara Taiwan dan China, Asean mempunyai kapasiti mengambil langkah proaktif memainkan peranan sebagai pihak tengah yang neutral bagi meningkatkan peluang dialog antara semua pihak.

Dalam menghadapi persengketaan kuasa besar, hubungan Asean dengan kuasa pertengahan yang berkebolehan seperti Taiwan dan Korea Selatan akan mengelakkan negara Asean daripada terlampau bergantung kepada China atau AS. Ini membantu Asean mengekalkan autonomi strategik dan kebolehgerakan di tengah persaingan AS-China. Sokongan kuasa pertengahan yang lain juga bermaksud Asean boleh terus berpegang pada prinsip Kepusatan Asean (Asean Centrality). Ia amat penting bagi membawa kembali komunikasi dan perbincangan melalui Asean sebagai platform pelbagai hala utama di rantau ini.

Potensi kerjasama antara negara Asean dan kuasa tengah Asia Timur masih luas untuk diterokai bukan sahaja daripada kerjasama ekonomi, tetapi dalam pelbagai sektor lain. Dengan mengambil kesempatan daripada dasar NSP Taiwan dan KASI oleh Korea Selatan, Malaysia sebagai Pengerusi Asean bagi 2025 berada dalam posisi yang amat baik untuk memastikan momentum persefahaman dan kerjasama yang diwujudkan bersama dapat dimanfaatkan untuk mencapai visi Asean sebagai komuniti lebih terhubung dan berdaya tahan.

Penulis Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Asia Timur, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top