Persatuan Pentas Anak Seni Malaysia (PPASM) kekal konsisten memartabatkan warisan muzik berteraskan budaya menerusi pelbagai inisiatif, termasuk penganjuran Pertandingan Nyanyian Borneo 2025 yang berlangsung baru-baru ini.
Pengerusi PPASM, Jawed Khan, menjelaskan program itu bukan sekadar pertandingan nyanyian, sebaliknya satu usaha lebih besar untuk memperkasa bakat muda dan memastikan legasi kebudayaan terus dipelihara. Jawed berkata platform tersebut diwujudkan bagi memberi ruang pengiktirafan kepada penyanyi-penyanyi Borneo, di samping mengetengahkan identiti budaya warisan melalui seni persembahan.
“Pertandingan ini dibina untuk mengangkat bakat nyanyian dari Borneo supaya mendapat perhatian dan penghargaan sewajarnya. Ia bukan hanya pentas hiburan, tetapi ruang untuk menonjolkan jati diri serta warisan budaya,” katanya.
Dalam masa sama, Jawed memaklumkan sambutan yang diterima amat menggalakkan, malah penyertaan peserta berkualiti membuktikan budaya tempatan masih kukuh dan berakar dalam diri generasi hari ini.
“Respons yang diterima sangat positif. Kehadiran peserta yang benar-benar berbakat menunjukkan budaya kita masih kuat, hidup, dan menjadi sebahagian daripada identiti,” ujarnya.
Selain memperkenalkan lagu-lagu Borneo kepada khalayak lebih luas, Jawed menjelaskan pertandingan itu turut memberi fokus kepada pengukuhan jati diri bakat dari Sabah dan Sarawak walaupun berada jauh di perantauan. Pada masa sama, program tersebut membuka peluang kepada peserta untuk menonjolkan kemampuan artistik, kreativiti dan rasa penghargaan terhadap seni budaya tempatan.
Acara yang berlangsung meriah di Dataran Merpati, Kolej Sultan Alaeddin Suleiman, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 18 Disember lalu menyaksikan 18 peserta berentap di peringkat akhir.
Pentas berkenaan turut berperanan sebagai medan memperkenalkan lagu-lagu dalam bahasa etnik Borneo seperti Dusun, Kadazan, Iban, Bidayuh dan pelbagai lagi kepada penonton daripada pelbagai latar masyarakat.
Dalam pertandingan itu, peserta dari Sabah, Siti Rafidah Daud, berjaya memikat juri menerusi kekuatan vokalnya menerusi lagu bahasa Dusun berjudul Aada sekali gus merangkul gelaran juara. Dia membawa pulang RM1,000, sijil dan trofi.
Harvard Sandar meraih tempat kedua menerusi lagu Id Pagandadan, manakala tempat ketiga dimenangi Vannesa Anne Brown menerusi Ati Nuan Ati Aku. Kedua-duanya masing-masing menerima RM500 dan RM300, beserta sijil serta trofi.
Pertandingan itu turut mendapat sokongan menerusi Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK), Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya Malaysia (MOTAC).



