nurul.hidayah@hmetro.com.my
Bangi: Program Penggerak Pendaulat Borneo (PPB) 9.0 berjaya menyumbang 40 lampu jalan berkuasa suria serta 12 panel suria kepada penduduk Kampung Serudong Laut, Kalabakan, Sabah, pada 25 Februari lalu.
Projek itu dilaksanakan 51 penuntut Kolej Dato Onn (KDO), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kolej dalam kampus Bangi.
Pengetua Kolej Dato Onn UKM Dr Shahrul Nazmi Sannusi berkata, PPB 9.0 latihan di luar bilik kuliah.
“Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk kampung malah memberi peluang kepada penuntut untuk terbabit secara langsung dalam kerja amal serta memahami kepentingan pembangunan lestari di kawasan luar bandar.
“Pada masa sama, aktiviti komuniti ini latihan di luar bilik kuliah. Penuntut masuk ke kawasan pedalaman tanpa bekalan elektrik, air dan telekomunikasi khusus bagi mendekati dan memahami kehidupan masyarakat,” katanya.
Shahrul Nazmi yang juga pensyarah di Pusat Kajian dan Komunikasi (Mention), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UKM berkata, PPB 9.0 turut menyumbang kipas dan lampu untuk kegunaan di surau, balai juga gereja kampung itu.
“Inisiatif ini dapat meningkatkan kesejahteraan masyarakat, terutama dalam aspek keselamatan dan keselesaan infrastruktur awam,” katanya.
Menurutnya, bagi membantu pelajar menghadapi peperiksaan besar, program itu juga menganjurkan Festival Akademik khas untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Umas-Umas, Kalabakan.
PPB 9.0 mendapat tajaan RM100,000 daripada pelbagai pihak, termasuk Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP UKM), Sabah Energy, Sazma Aviation, Tenaga Nasional Berhad (TNB), FGV, Adabi Food dan lain-lain.
Majlis perasmian program disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sebatik Datuk Hassan A Gani PG Amir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




