am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Satu laporan polis akan dibuat terhadap beberapa badan bukan kerajaan (NGO) hak wanita termasuk sebuah parti politik yang didakwa menghina agama Islam dan mempromosi gaya hidup songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam himpunan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac lalu di sebuah kompleks membeli-belah di ibu negara.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, laporan polis itu akan dibuat dalam masa terdekat agar satu tindakan undang-undang boleh diambil oleh pihak berkuasa terhadap pihak yang melakukan kesalahan itu.
Beliau berkata, tindakan menghina agama Islam serta mempromosi gaya hidup songsang melalui pemaparan sepanduk dibawa semasa himpunan baru-baru ini, tidak boleh diterima di negara ini.
“Rakyat Malaysia kena faham yang kita berada di sini dan tertakluk kepada Perlembagaan negara ini.
“Adakah kita hendak meneruskan pendapat individu atau kumpulan tertentu dalam melaksanakan kehidupan kita hari ini?
“Kalau benda-benda pelik yang lain daripada apa yang berlaku hari-hari (seperti mempromosi LGBT), kita nak terima ke? Kita nak diam sahaja ke? Ini disebabkan kita semua ada pegangan. Yang (tindakan pelik) lain itu sepatutnya tidak boleh diterima,” katanya pada sidang medianya bersama beberapa NGO di ibu pejabat PPIM hari ini.
Turut sependapat, Pegawai Tugas-Tugas Khas Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid Malaysia), Mahmud Hishamuddin Abdul Rashid yang menggesa pihak berkuasa menyiasat tindakan beberapa NGO hak wanita dan sebuah parti politik yang mengambil kesempatan semasa himpunan itu.
Katanya, pihaknya membangkitkan isu itu agar pihak berkuasa mengambil perhatian, sebelum ia menjadi kritikal.
“PPIM dan NGO lain ini prihatin terhadap hal yang boleh merosakkan masyarakat. Atas dasar itu juga kita bangkit dan suarakan hal ini supaya pihak berkuasa ambil cakna.
“Jangan tunggu sampai dah kritikal, baru nak ambil tindakan. Bila sudah tenat, nampak kecoh satu negara, macam-macam tindakan baru diambil,” katanya.
Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah pula mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang membawa budaya asing ke dalam masyarakat negara ini.
“Kita menentang perbuatan sebegini. Peliknya kenapa ada segelintir daripada kita ini tak ramai pun, bawa budaya asing sebegini dalam masyarakat kita dan pihak berkuasa tidak merasakan perkara ini satu yang sensitif.
“Ini perkara yang perlu kita lihat dengan serius. Kenapa dan mengapa? Orang buat kerja tak betul kita benarkan dan orang buat kerja betul kita tak benarkan.
“Apabila perkara terbalik ini berlaku, kita sedang menunggu kehancuran sesebuah tamadun. Barat sudah rosak dan sudah merebak ke negara-negara timur. Sasarannya sekarang ini adalah Malaysia selepas berjaya di negara jiran yang lain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




