am@hmetro.com.my
Langkawi: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Langkawi merekodkan nilai rampasan melebihi RM10.3 juta membabitkan pelbagai kes jenayah rentas sempadan sepanjang tahun lalu hingga dua bulan pertama tahun ini.
Komandernya, Asisten Komisioner Jaffri Bidin berkata, sebanyak 624 kes jenayah maritim dan pelanggaran undang-undang direkodkan dalam tempoh itu, termasuk kes dadah, barangan kawalan serta aktiviti penyeludupan.
“Sepanjang tahun lalu hingga kini, PPM Wilayah 1 merekodkan 624 kes jenayah maritim termasuk penyeludupan rentas sempadan dengan nilai rampasan RM10,344,414.66.
“Kejayaan ini hasil maklumat yang diterima dan dijana secara berkesan oleh pasukan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Rendezvous PPM Wilayah 1 dan Polis Marin Diraja Thailand (RTMP) di Pulau Brasmana, Thailand, petang semalam.
Dalam program itu, beliau turut mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatnya dari RTMP, Inspektor Sub Bahagian 9 Divisyen Polis Marin, Leftenan Kolonel Paradon Sawasdee bagi membincangkan aspek kerjasama dan kesiapsiagaan keselamatan di perairan sempadan Malaysia-Thailand.
Mengulas lanjut Jaffri berkata, tahap kesiapsiagaan PPM Wilayah 1 sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri berada pada tahap tertinggi bagi memastikan perairan negara kekal terkawal.
Katanya, sebanyak 18 kapal dan bot ronda sudah dipersiapkan untuk operasi pemantauan serta rondaan berterusan, manakala anggota yang terbabit bersedia sepenuhnya menggalas tugas di laut sepanjang musim perayaan.
“PPM tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan, termasuk penyeludupan serta pencerobohan perairan negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




