Kuala Lumpur: Persatuan Penduduk Saujana Utama 3 (PPSU3) menganjurkan program MobileGraphy: Asas Shoot & Edit Photo/Video bagi melatih warga setempat menguasai teknik asas dan lanjutan fotografi serta videografi menggunakan telefon pintar.
Program sehari itu berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Saujana Utama (2) (SUSeSS) dan dianjurkan Biro Sukan, Rekreasi & Pembangunan Remaja bersama Biro Media & Komunikasi PPSU3 dengan kerjasama Akademi Media Kreatif MyMojo.
Program berkenaan dikendalikan tenaga pengajar berpengalaman, Mohammed Hazli Hassan (Cikgu Bobo) dengan fokus kepada teknik penggambaran serta penyuntingan foto dan video menggunakan aplikasi mudah alih.
Antara objektif utama penganjuran ialah mendedahkan peserta kepada kaedah suntingan mudah, menggalakkan penghasilan kandungan kreatif berkualiti tinggi serta mencungkil bakat baharu untuk disumbangkan sebagai sukarelawan fotografi dan videografi media sosial rasmi PPSU3.
Seramai 44 peserta berusia 13 tahun ke atas menyertai program itu, dengan peserta bawah 18 tahun mendapatkan kebenaran penjaga.
Program merangkumi sesi bengkel pada sebelah pagi dan petang sebelum ditutup pada jam 5 petang.
Pengerusi PPSU3, Hishamudin Yahya, berkata program berkenaan bukan saja memberi manfaat kepada peserta, malah memperkukuh peranan komuniti dalam melahirkan sukarelawan media yang mampu menyokong aktiviti persatuan serta meningkatkan daya saing dalam era teknologi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




