Putrajaya: Teknologi Pembinaan Volumetrik Prafabrikasi Prasiap (PPVC) dipertimbang untuk digunakan bagi projek pembinaan bangunan sekolah tambahan selepas terbukti sesuai.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, teknologi sistem binaan PPVC sudah diguna pakai dalam pembangunan 35 bilik darjah tambahan di lima sekolah di Putrajaya iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Presint 5 (1), SK Presint 9 (2), SK Presint 14 (1), SK Presint 17 (1) dan SK Presint 18 (1).
“Ini adalah projek pertama yang menggunakan teknologi ini (PPVC) dan kita akan lihat keberkesanan serta kualiti. Kemungkinan boleh diperluas ke seluruh negara,” katanya selepas melawat bilik darjah tambahan di SK Presint 18 (1) di sini, tadi.
Memperincikan mengenai PPVC, Radzi berkata, struktur bilik darjah dilengkapi lampu dan kipas dipasang di kilang sebelum dibawa ke sekolah untuk ditempatkan di kawasan yang ditentukan sebagai bilik darjah tambahan.
Projek tambahan bilik darjah di lima sekolah itu bermula pada November lalu dan siap sepenuhnya 16 Mac lalu.
Menjelang permulaan sesi persekolahan sepenuhnya secara bersemuka bagi pelajar sekolah menengah April bulan depan, Radzi berkata aspek penyuraian murid diberi penekanan supaya prosedur operasi standard (SOP) di sekolah dipatuhi.
“Aspek tambah baik SOP ini juga membabitkan kerjasama ibu bapa supaya segalanya lancar,” katanya.
Kerajaan mengumumkan pelajar sekolah menengah akan memulakan sesi persekolahan pada 4 April bagi Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) pada 5 April.




