PPZ-MAIWP lancar Kempen Ramadan

PPZ-MAIWP lancar Kempen Ramadan

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutun (PPZ-MAIWP) mengadakan pelbagai program menarik sempena Kempen Ramadan yang dilancarkan, hari ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PPZ-MAIWP Mohammed Hassan berkata, kempen itu diadakan untuk menggalakkan lebih ramai masyarakat Islam menunaikan ibadah zakat dan wakaf pada bulan Ramadan.

“Bertemakan Jiwa Memberi untuk Kempen Ramadan kali ini, PPZ-MAIWP mahu masyarakat menyemai dan membudayakan amalan memberi dengan penuh ikhlas tanpa mengharap sebarang balasan selain ganjaran pahala Allah SWT semata-mata.

“Selain itu, kempen ini diadakan untuk menguar-uarkan perkhidmatan dan kemudahan saluran bayaran zakat serta wakaf sepanjang Ramadan nanti,” katanya pada Majlis Perasmian Kempen Ramadan Jiwa Memberi di sebuah restoran, di sini, hari ini.

Mohammed berkata, PPZ-MAIWP berkolaborasi bersama beberapa rakan strategik termasuk Tudungruffle, Bright Cow dan aplikasi iman Pro dalam kempen Ramadan kali ini bagi menarik minat lebih ramai pembayar zakat serta wakaf.

“Menerusi kolaborasi bersama Tudungruffle, seramai 1,000 pembayar wanita terawal yang membuat bayaran zakat harta serendah RM1,000 dalam satu transaksi di mana-mana kaunter PPZ-MAIWP berpeluang menerima cenderahati eksklusif jenama itu.

“Lebih menarik, PPZ-MAIWP bersama Tudungruffle juga bakal melaksanakan pelbagai program lain sepanjang bulan ini termasuk ziarah asnaf, sesi podcast istimewa, program usrah bersama pempengaruh wanita dan lain-lain,” katanya.

Selain itu, katanya, 10,000 pembayar zakat atau wakaf terawal di kaunter PPZ-MAIWP akan diberikan kit Ramadan mengandungi susu kotak dan kurma menerusi kolaborasi bersama Bright Cow.

“Bagi aplikasi iman pro pula, tawaran khusus kepada pembayar zakat PPZ-MAIWP dengan mereka boleh memuat turun aplikasi itu secara percuma selama tujuh hari bermula hari ini hingga 4 Mac ini.

“Menerusi aplikasi ini, pengguna berpeluang untuk mendapat notifikasi peringatan berkaitan zakat secara automatik selain info eksklusif mengenai wakaf dan zakat.

“Selain acara bersama rakan strategik, PPZ-MAIWP juga menjalankan pelbagai program khas sepanjang bulan ini termasuk program turun padang, Program 1 Hari 1 Ilmu, drama pendek Ramadan serta ‘Ramadan Rewards‘,” katanya.

Menurunya, 10 kaunter PPZ-MAIWP dibuka setiap hari sepanjang Ramadan ini dari 8.15 pagi hingga 4.30 petang kecuali hari terakhir Ramadan yang dibuka sehingga jam 1 petang.

“Seramai 969 amil fitrah membabitkan 76 ketua penolong amil dan 893 penolong amil fitrah yang ditempatkan di pelbagai lokasi termasuk masjid, surau, pejabat dan pusat beli belah di seluruh Wilayah Persekutuan.

“Ada pelbagai saluran disediakan untuk masyarakat Islam membayar zakat. Justeru itu, tiada alasan diberikan untuk lupa dan tidak membayar zakat,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan MAIWP menetapkan kadar zakat fitrah bagi tahun ini di Wilayah Persekutuan sebanyak RM7, RM15 dan RM22 mengikut jenis beras yang dimakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top