razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM7,467,019.06 daripada 19 buah koperasi di sini, hari ini.
Majlis Zakat Koperasi 2025 ini diadakan sebagai simbolik penyerahan zakat perniagaan oleh koperasi- koperasi di Wilayah Persekutuan bagi haul 2024 dan 2025, di samping menghargai komitmen pembayar zakat yang konsisten menunaikan tanggungjawab mereka melalui PPZ-MAIWP.
Antara 19 koperasi yang menunaikan Zakat Perniagaan termasuk Koperasi Generasi Felda Baru Berhad, Koperasi Jaya Murni Wanita Berhad dan Koperasi KOSWIP Malaysia Berhad dan Koperasi BIMB Holdings Malaysia Berhad.
Penyerahan zakat perniagaan itu disampaikan wakil setiap koperasi kepada PPZ-MAIWP yang diwakili Pengerusinya, Datuk Seri Amrin Awaluddin yang disaksikan Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.
Terdahulu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam teks ucapannya yang dibacakan Amrin berkata, majlis ini amat bermakna kerana ia memperkukuh kerjasama antara institusi zakat dan koperasi.
Katanya, zakat bukan sekadar kewajipan agama, tetapi amanah sosial yang memberi kesan langsung kepada mereka yang kurang bernasib baik.
“Realitinya, ramai dalam kalangan asnaf di luar sana bukanlah berada terlalu jauh dari kita dan bahkan mungkin berkongsi jalan yang sama setiap hari.
“Ini yang dipanggil sebagai fenomena miskin bandar. Mereka mungkin sudah bekerja, usaha bersungguh- sungguh, namun pendapatan yang diraih masih belum mampu menampung kos kehidupan seharian.
“Zakat inilah yang menjadi tali untuk menarik mereka keluar sedikit demi sedikit daripada tekanan hidup yang dihadapi,” katanya.
Justeru, beliau menyeru agar lebih banyak koperasi dapat turut sama menunaikan zakat perniagaan di PPZ-MAIWP dalam memastikan kebajikan para asnaf di Wilayah Persekutuan dapat terus terpelihara.
Untuk rekod, setakat tempoh ini, sebanyak RM122 juta diterima PPZ-MAIWP daripada bayaran zakat perniagaan melibatkan pelbagai sektor, termasuk sektor koperasi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman ketika ditemui berkata, pihaknya mensasarkan RM195 juta kutipan zakat perniagaan sehingga hujung tahun ini.
“Setakat ini kita sudah memperoleh RM122.3 juta bermakna ada lebih kurang RM70 juta lagi yang perlu kami kutip sehingga akhir tahun ini.
“Jika dilihat dari segi trend itu nampak ada peningkatan dan semoga dengan peningkatan ini kita berjaya capai sasaran yang ditetapkan untuk menyeimbangi keperluan asnaf yang semakin lama semakin meningkat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




