Jakarta: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menamakan anak saudaranya, Thomas Djiwandono, untuk menyertai lembaga gabenor Bank Indonesia (BI), kata jurucakap presiden, di tengah-tengah kebimbangan terhadap kebebasan bank pusat dilaporkan meningkat.
Difahamkan, pelabur bimbang pembuat dasar monetari bebas di ekonomi terbesar Asia Tenggara itu mungkin terjejas apabila Prabowo menyasarkan pertumbuhan ekonomi sebanyak lapan peratus menjelang 2029, berbanding kira-kira lima peratus sekarang.
Nilai rupiah jatuh ke paras terendah sembilan bulan pada 19 Januari lalu, susulan ketidakpastian dasar tarif baharu Amerika Syarikat (AS), kebimbangan terhadap defisit fiskal Indonesia yang meningkat dan berita pencalonan untuk jawatan utama di bank pusat itu.
Menurut jurucakap presiden, Prasetyo Hadi, Thomas Djiwandono yang kini menjawat jawatan Timbalan Menteri Kewangan adalah salah seorang daripada tiga calon yang dikemukakan kepada Parlimen.
Pencalonan itu menyusuli peletakan jawatan timbalan gabenor BI, Juda Agung, sebelum tamat tempoh perkhidmatan pada 2027.
Sementara itu, Menteri Kewangan Purbaya Yudhi Sadewa berkata, Agung akan menyertai Kementerian Kewangan, mewakili pertukaran pegawai atasan yang tidak menjejaskan kebebasan mana-mana institusi.
“Mungkin terdapat spekulasi bahawa kerana Thomas akan pergi ke sana, kebebasan (bank pusat) akan hilang. Saya tidak bersetuju,” kata Purbaya.
“Sebaik sahaja mereka menyedari ia tidak berlaku, (rupiah) akan mengukuh,” katanya, sambil menambah kementeriannya dan BI akan menyegerakkan dasar fiskal dan monetari untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih pantas.
© New Straits Times Press (M) Bhd



