Prabowo puji kejayaan tahun pertama program makanan percuma

Prabowo puji kejayaan tahun pertama program makanan percuma

JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menyifatkan tahun pertama pelaksanaan program Makanan Berkhasiat Percuma (MBG) sebagai satu kejayaan besar, walaupun inisiatif nasional itu belum mencapai sasaran liputan penuh dan berdepan cabaran logistik yang luas.

Berucap pada taklimat semasa retreat kepimpinan Kabinet di kompleks Garuda Yaksa, Hambalang, Bogor, Jawa Barat, Prabowo berkata, program berkenaan mencatat kadar kejayaan 99.99 peratus berdasarkan penilaian statistik.

Menurut beliau, pelaksanaan MBG sepanjang 2025 menunjukkan keupayaan kerajaan melaksanakan intervensi sosial berskala besar secara berkesan.

Program MBG, yang dilancarkan pada 6 Januari 2025, bertujuan menyediakan makanan berkhasiat setiap hari kepada 82.9 juta pelajar sekolah di seluruh Indonesia serta wanita hamil, sebagai usaha menangani masalah bantut, kelaparan dan kemiskinan jangka panjang.

Setakat semalam, kira-kira 55 juta penerima mendapat manfaat daripada program tersebut di seluruh negara.

Prabowo menyifatkan pencapaian itu sebagai luar biasa, sambil menyatakan Indonesia berjaya mencapai ramai penerima dalam tempoh yang jauh lebih singkat berbanding program seumpamanya di luar negara.

Memberi contoh Brazil, beliau berkata negara Amerika Selatan itu mengambil kira-kira 11 tahun untuk memberi manfaat kepada 40 juta penerima, manakala Indonesia mencapai 55 juta orang hanya dalam tempoh setahun.

“Ini adalah sesuatu yang patut kita banggakan,” katanya.

Presiden itu turut menjawab kritikan dan sindiran terhadap program MBG, dengan menegaskan ia merupakan dasar strategik yang dinanti-nantikan rakyat.

Menurutnya, inisiatif tersebut mencerminkan campur tangan langsung negara bagi meningkatkan pemakanan, memperkukuh modal insan dan memutuskan kitaran kemiskinan.

“Kepada mereka yang memperlekehkan program ini, lihatlah dengan mata dan hati kamu terhadap rakyat dan anak-anak kita.

“Kami akan buktikan bahawa MBG berkesan dan dinanti-nantikan oleh rakyat,” kata Prabowo.

Walaupun mengakui terdapat beberapa kekurangan terpencil, termasuk ‘sebilangan kecil’ kes keracunan makanan, Prabowo menegaskan kerajaan tidak akan leka.

Beliau berkata pentadbiran pimpinannya kekal komited untuk mencapai pelaksanaan dengan ‘sifar kecacatan’.- AGENSI

Scroll to Top