Prabowo terima ucapan tahniah daripada pemimpin Asia, Rumah Putih

Prabowo terima ucapan tahniah daripada pemimpin Asia, Rumah Putih

KUALA LUMPUR – Selepas Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pemimpin pertama mengucapkan tahniah kepada Presiden Indonesia Prabowo Subianto, yang diumumkan semalam sebagai pemenang rasmi Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia 2024, Presiden China Xi Jinping turut mengucapkan tahniah.

Prabowo menerima ucapan tahniah daripada Xi atas pemilihannya sebagai Presiden Indonesia pada Rabu, menurut Agensi Berita Xinhua.

Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU) mengumumkan Prabowo-Gibran Rakabuming Raka sebagai pemenang rasmi Pemilihan Presiden dan Naib Presiden 2024, pada Rabu malam.

Berdasarkan kiraan undi di 38 wilayah Indonesia dan 128 pusat mengundi luar negara, Prabowo-Gibran meraih 58.6 peratus atau 96,214,691 undi daripada 164,227,475 undi, menurut pengumuman KPU.

Kerajaan Amerika Syarikat (AS) juga mengucapkan tahniah kepada presiden yang baru dipilih. Setiausaha Negara Anthony Blinken dalam hantarannya di platform X berkata:

“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan presiden yang dipilih dan pentadbirannya apabila mereka mengambil alih jawatan pada Oktober”.

Mesej sama turut disuarakan oleh Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih Jake Sullivan.

“Sebagai negara demokrasi kedua dan ketiga terbesar di dunia, kami berharap untuk meneruskan kerjasama dalam menyokong ASEAN dan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka,” katanya dalam hantaran di platform X.

Di Tokyo, Kementerian Luar Jepun (MOFA) dalam hantaran di akaun X berkata Perdana Menteri Fumio Kishida mengirim surat ucapan tahniah kepada Prabowo pada Rabu berikutan pengumuman KPU.

“Dalam surat ini, Perdana Menteri Kishida mengucapkan tahniah kepada presiden terpilih Prabowo dan menyampaikan hasratnya untuk bekerjasama dalam hubungan dua hala dalam pelbagai bidang serta isu serantau dan global, menyentuh hubungan dua hala yang telah dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif tahun lepas apabila kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik mereka,” kata MOFA Jepun.

Sementara itu, Agensi Berita ANTARA  dalam laporannya berkata kadar pertukaran rupiah Indonesia mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada pagi Khamis berikutan keputusan KPU mengenai keputusan Pilihan Raya Umum 2024 (Pemilu) termasuk presiden dan naib presiden yang dipilih.

Menurut laporan pada pembukaan dagangan, rupiah meningkat 55 mata atau 0.35 peratus kepada Rp15,668 berbanding dolar AS daripada paras sebelumnya Rp15,723 berbanding dolar AS.

“Dari segi domestik, ia berkait rapat dengan keputusan akhir KPU yang mengumumkan kemenangan pasangan Prabowo-Gibran,” kata penganalisis Finex Brahmantya Himawan kepada ANTARA di Jakarta, Khamis.

“Pesta Demokrasi” di negara demokrasi ketiga terbesar di dunia pada 14 Feb diadakan bagi menentukan pengganti Presiden Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi yang menamatkan penggal kedua dan terakhirnya pada Oktober. – BERNAMA