
Seorang pramugara yang dipercayai berada dalam keadaan khayal dilaporkan menari dalam keadaan berbogel di dalam tandas pesawat British Airways.
LONDON – Penumpang pesawat British Airways dikejutkan dengan ‘persembahan mengejutkan’ daripada seorang kru penerbangan dalam satu insiden luar jangka ketika dalam penerbangan dari San Francisco ke London pada 25 Mei lalu.
Seorang pramugara yang dipercayai berada dalam keadaan khayal dilaporkan menari dalam keadaan berbogel di dalam tandas kelas perniagaan pesawat ketika ia berada pada ketinggian kira-kira 11,200 meter.
Akhbar tabloid The Sun melaporkan bahawa kru lelaki berusia 41 tahun itu sepatutnya sedang menghidangkan makanan kepada penumpang apabila dia ‘hilang’ secara tiba-tiba.
“Kami percaya dia ada mengambil pil terlarang sewaktu bekerja. Kerja ini sebenarnya boleh buat orang hilang akal.
“Tetapi, menari seorang diri macam dalam kelab malam di tandas Club World adalah pengalaman pertama buat saya,” kata seorang kru yang turut bertugas pada hari kejadian, seperti dipetik The Sun.
Difahamkan, kru tersebut kemudian dipakaikan dengan baju tidur dan dipasang tali pinggang keledar di tempat duduknya sehingga tiba ke destinasi.
Sebaik pesawat Airbus A380-800 itu mendarat di Lapangan Terbang Heathrow, London, individu terbabit diiring keluar oleh pihak berkuasa dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Dia telah dibebaskan sementara siasatan masih dijalankan,” menurut kenyataan Polis Metropolitan.