rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menubuhkan satu jawatankuasa bagi menjalankan siasatan susulan insiden lelaki orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang maut selepas terjatuh ke kawasan rel di stesen transit aliran ringan (LRT) Star Titiwangsa, di sini, kelmarin.
Prasarana berkata, hasil laporan siasatan itu akan diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Menurut prasarana, pihaknya akan melaksanakan inisiatif penambahbaikan yang dicadangkan oleh jawatankuasa terbabit dengan kadar segera.
Prasarana mengambil tindakan mempertingkatkan aspek keselamatan bagi semua pengguna rel terutama golongan OKU dengan menambah bilangan anggota polis bantuan di stesen tidak mempunyai pintu platform automatik (PSD) dan bilangan pengguna OKU yang tinggi bagi memantau serta memberi pertolongan lebih efisien.
“Tatacara pengendalian operasi (SOP) ditambah baik bagi meningkatkan mutu pemantauan khususnya di platform.
“Prasarana juga sedang dalam proses menaik taraf kamera litar tertutup pintar yang berupaya mengesan perilaku aneh dan berisiko.
“Langkah ini dapat memberi amaran awal kepada pihak operasi sekiranya berlaku sebarang insiden terutama di platform.
“Kerja pemasangan berperingkat itu dijangka siap hujung tahun ini bermula di laluan monorel sebelum diteruskan ke laluan lain.
“Prasarana turut melaksanakan langkah jangka panjang melalui pemasangan PSD di Laluan Ampang/Sri Petaling dan Laluan Kelana Jaya yang amat penting bagi mengelakkan pengguna turun atau terjatuh di landasan,” kata dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian Sabtu lalu, lelaki OKU buta ditemukan di bawah landasan rel LRT Star Titiwangsa dipercayai terjatuh.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Prasarana berkata, pihaknya berdukacita dengan insiden menimpa pengguna terbabit dan akan memberikan bantuan ihsan sewajarnya kepada keluarga mangsa.
“Sebagai penyedia perkhidmatan pengangkutan awam yang prihatin, Prasarana komited memastikan persekitaran perjalanan yang lebih selamat dan mesra OKU.
“Prasarana akan melipatgandakan sesi libat urus bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan OKU bagi mendapatkan maklum balas serta memperbaiki prosedur daripada semasa ke semasa,” katanya.
Prasarana turut menyeru semua pengguna yang memerlukan bantuan tambahan supaya mendapatkan khidmat petugas stesen yang terlatih mengendalikan keperluan pengguna terutama OKU, warga emas dan kanak-kanak, sebelum menaiki tren.
© New Straits Times Press (M) Bhd




