Prasarana umum pelantikan pucuk pimpinan baharu

Prasarana umum pelantikan pucuk pimpinan baharu
Amir dilantik Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (PGCEO) berkuat kuasa 15 Julai ini.

Amir dilantik Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (PGCEO) berkuat kuasa 15 Julai ini.

PRASARANA Malaysia Berhad (Prasarana) mengumumkan pelantikan Tan Sri Mohd Nasir Ahmad sebagai Pengerusi Kumpulan baharu syarikat itu berkuat kuasa 1 Ogos depan.

Sementara itu, Amir Hamdan pula dilantik Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (PGCEO) berkuat kuasa 15 Julai ini.

Prasarana dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu bertujuan memastikan kesinambungan kepimpinan dan kelangsungan operasi syarikat dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang selamat, cekap dan berdaya saing.

“Mohd Nasir menggantikan Tan Sri Jamaludin Ibrahim yang menamatkan perkhidmatan sebagai Pengerusi Prasarana pada 30 April 2025.

“Manakala, Amir pula menggantikan Mohd Azharuddin Mat Sah yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 14 Julai 2025,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Terdahulu, Mohd Nasir pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) sehingga bersara pada 1 Jun 2011.

Beliau juga memegang jawatan sebagai Pengerusi Kumpulan CIMB Holdings Berhad sejak 2018.

Amir pula sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) dan memainkan peranan penting dalam memperkukuh kecekapan operasi serta mutu perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana.

Beliau turut menyertai Prasarana pada 2019 sebagai Timbalan Ketua Pegawai Kewangan dan dilantik Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd pada 2022.

Menurut kenyataan itu lagi, Amir berjaya memacu pelbagai inisiatif penambahbaikan yang menyumbang kepada peningkatan kecekapan dan kebolehpercayaan perkhidmatan rel sepanjang menerajui Rapid Rail.

“Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dari Lincoln University of New Zealand serta Sarjana dalam Amalan Kewangan Islam dari INCEIF University.

“Amir juga merupakan ahli bertauliah Association of Chartered Certified Accountants (ACCA),” ujar kenyataan tersebut.

Lembaga Pengarah dan kepimpinan kanan Prasarana turut mengalu-alukan pelantikan kedua-dua tokoh tersebut dan menyatakan keyakinan bahawa pengalaman luas mereka akan memperkukuh usaha syarikat.

“Pelantikan itu sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mencapai sasaran 40 peratus kadar penggunaan pengangkutan awam menjelang 2030. Prasarana turut merakamkan penghargaan kepada Jamaludin Ibrahim dan Mohd Azharuddin atas jasa sepanjang empat tahun menerajui syarikat.

“Sepanjang kepimpinan mereka, Prasarana berjaya merekodkan jumlah penumpang harian tertinggi bagi rel dan bas serta memperkenalkan inisiatif baharu seperti perkhidmatan van Rapid On-Demand (ROD),” katanya.

Scroll to Top