Prasekolah wajib usia 5 tahun: KPM teliti isu teknikal sebelum laksana

Prasekolah wajib usia 5 tahun: KPM teliti isu teknikal sebelum laksana

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan pendidikan prasekolah yang akan diwajibkan pada umur lima tahun sudah selesai di peringkat dasar.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya akan meneliti dari sudut teknikal sebelum ia dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Soal dasar ia sudah selesai dan kita cuma perlu melihat soal operasi secara khusus bagi memastikan apabila ia dilaksanakan, dasar ini boleh berjalan dengan baik.

“Kita masih ada masa sepanjang lima tahun RMK13 dan untuk media, kita akan mengadakan taklimat khas bagi menjelaskan aspek pendidikan berhubung pembentangan RMK13,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan Kepada Murid Tingkatan Enam Semester Satu Tahun 2025, di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada dasar itu akan turut berlaku pergerakan usia iaitu Tahun Satu bermula pada usia enam tahun dan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada usia 16 tahun, Fadhlina berkata perkara itu akan diumumkan nanti.

Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan mewajibkan pendidikan prasekolah bermula pada usia lima tahun.

Pada masa sama katanya, lebih banyak kemudahan prasekolah di sekolah kelolaan Kementerian Pendidikan (KPM) akan disediakan terutama di kawasan desa.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top