hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu premis yang disyaki menjalankan kegiatan mengubahsuai dan mencetak slip e-PLKS yang berselindung di sebalik kedai membaiki telefon dan kedai runcit bagi mengaburi pihak berkuasa.
Turut ditahan, 16 lelaki warga Bangladesh dan tiga lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 18 tahun hingga 43 tahun, dalam serbuan di empat lokasi sekitar Taman Maluri di sini yang bermula pada 8.30 malam kelmarin.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kegiatan menyasarkan warga Bangladesh dan Myanmar yang berada di Lembah Klang dengan kadar bayaran dikenakan adalah RM100 untuk mencetak slip e-PLKS yang diubahsuai mengikut pasport pemilik, disyaki tidak memiliki pas sah.
Menurutnya, kegiatan itu juga dipercayai sudah beroperasi selama setahun.
“Semakan awal mendapati dua lelaki warga Bangladesh sudah tinggal lebih masa, manakala 14 lelaki warga Bangladesh dan 3 lelaki warga Myanmar tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau Pas yang sah untuk berada di negara ini.
“Pasukan operasi menyita wang tunai berjumlah RM11,357 yang disyaki hasil daripada aktiviti haram, slip e-PLKS, tiga pasport Bangladesh, tiga komputer riba, tiga mesin pencetak, tiga kamera litar tertutup (CCTV).
“Selain itu, turut disita salinan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Salinan Lesen Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan dua telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(4) dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63, manakala warga asing yang ditahan reka dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
“Seorang lelaki dan empat wanita warga tempatan serta seorang lelaki warga Bangladesh diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd