Premis perniagaan hampir musnah terbakar

Premis perniagaan hampir musnah terbakar

am@hmetro.com.my

Bentong: Tindakan pantas anggota bomba dapat menyelamatkan sebuah premis perniagaan dari musnah dalam kebakaran hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kebakaran dikesan bermula di tingkat tiga premis perniagaan terbabit.

Menurutnya, seramai 16 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bentong dan Karak dibantu lapan anggota bomba sukarela Perting ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan jam 3.05 petang.

“Sebaik tiba di lokasi, bomba membuat tindakan awal memecahkan cermin tingkap bagi memberi laluan pengudaraan kerana asap memenuhi ruangan yang terbakar.

“Operasi pemadaman di tingkat atas bangunan itu dilakukan dengan menggunakan skylif Majlis Perbandaran Bentong.” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Zulfadli berkata, ketika operasi pemadaman dilakukan bomba menghadapi kesukaran kerana tekanan air di lokasi kejadian terlalu rendah.

Menurutnya, kebakaran dapat dikawal jam 6.05 petang dan api dipadamkan sepenuhnya kira-kira sejam kemudian.

Katanya, akibat kebakaran itu hampir keseluruhan tingkat tiga premis terbabit musnah manakala aras dua bangunan itu hanya lima peratus terbakar.

“Ketika ini punca kebakaran sedang disiasat dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top