am@hmetro.com.my
Kulim: Sebuah premis yang dipercayai menjalankan aktiviti pemprosesan sisa plastik tanpa kelulusan pihak berkuasa di sini diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah dalam operasi bersepadu Op Taring Alpha 5, kelmarin.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh berkata, operasi bermula jam 3 petang itu disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Cawangan Risik Batalion 18, Briged Utara serta JAS Kedah.
Beliau berkata, operasi itu dijalankan hasil maklumat risikan berkaitan premis terbabit yang disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan sisa plastik tanpa kelulusan pihak berkuasa.
“Berikutan itu, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan dipercayai penjaga premis terbabit bersama enam warga asing iaitu empat warga Bangladesh dan dua warga Nepal dipercayai pekerja di premis berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis itu telah memasang serta mengendalikan beberapa fasiliti pemprosesan plastik tanpa sebarang notifikasi dan kelulusan daripada pihak JAS.
“Pasukan serbuan turut menemui sejumlah besar longgokan plastik, sama ada yang belum diproses mahupun yang telah siap diproses, selain beberapa mesin yang digunakan dalam aktiviti pemprosesan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Balveer Singh berkata, siasatan awal mendapati premis itu sudah pun beroperasi lebih daripada sembilan tahun dengan bekalan bahan sisa plastik diperoleh dari kawasan Lembah Klang.
Katanya, fasiliti yang terdapat di dalam premis itu digunakan untuk memproses bahan plastik, manakala bijian plastik yang sudah siap diproses kemudiannya dieksport ke luar negara.
“Lelaki tempatan yang ditahan itu berusia 35 tahun manakala empat warga Bangladesh yang ditahan itu berusia antara 22 hingga 46 tahun dan warga Nepal berusia 22 dan 23 tahun.
“Turut dirampas pelbagai mesin yang digunakan untuk memproses plastik, tiga buah jentera forklift yang kesemuanya dianggarkan bernilai lebih RM20 juta (RM20,603,000).
“Kes diserahkan kepada JAS Daerah Kulim untuk siasatan di bawah Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana kegagalan mengemukakan laporan mengenai kesan aktiviti pemprosesan plastik terhadap alam sekitar yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, serta denda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas notis pematuhan disampaikan oleh Ketua Pengarah, ” katanya.
Balveer Singh berkata, lelaki tempatan yang ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan pendatang asing tanpa izin, yang membawa hukuman denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pekerja yang diambil.
Enam lelaki warga Bangladesh dan Nepal itu pula akan disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 atas kesalahan melanggar syarat permit, dengan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
“Sehubungan itu, Briged Utara PGA menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti pemprosesan plastik tanpa kelulusan sah kerana ia berpotensi mendatangkan risiko serius terhadap alam sekitar dan keselamatan awam.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pencemaran alam sekitar atau pengendalian plastik tanpa lesen diminta menyalurkannya kepada Briged Utara PGA bagi membolehkan tindakan segera diambil.
© New Straits Times Press (M) Bhd




