suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket penyimpanan minyak sawit mentah secara haram dalam Op Taring Palma di Kawasan Perindustrian Kulai Timur di Kulai, Johor, hari ini.
Operasi itu turut membabitkan nilai rampasan sehingga RM805,850.
Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, operasi bersepadu terbabit dilaksanakan bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Johor selepas menerima maklumat awam mengenai premis tidak berlesen.
“Bertindak atas maklumat awam, pasukan Cawangan Risik FRU Bukit Aman telah menyerbu sebuah premis tidak bernombor pada jam 4.15 petang dan mengesan aktiviti mencurigakan melibatkan penyimpanan minyak sawit mentah jenis Palm Oil Sludge (SPO) di lokasi yang tidak berlesen.
“Hasil serbuan tersebut, tiga lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan.
“Turut dirampas adalah beberapa kenderaan berat, peralatan industri serta minyak sawit mentah yang disyaki diproses dan disimpan secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Mengulas lanjut, Rosli berkata, semua barang rampasan dan tangkapan diserahkan kepada Pegawai Penguat kuasa MPOB Johor untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 78 Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582).
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM805,850,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kejayaan itu membuktikan keberkesanan pendekatan operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan.
“Operasi ini adalah hasil kerjasama strategik antara FRU dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia yang dilaksanakan secara tersusun dan berfokus.
“Pendekatan ini selari dengan pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan penguatkuasaan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyimpanan dan pemprosesan minyak sawit secara haram, bahkan tiada kompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang yang menjejaskan kepentingan industri strategik negara.
“Usaha penguatkuasaan secara bersepadu akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



